Madueke 'bayar' kepercayaan Arteta

Madueke ‘bayar’ kepercayaan Arteta

NONI Madueke beraksi cemerlang ketika Arsenal menentang Hul City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kesungguhan Noni Madueke memperbaiki tahap kecergasan ketika kurang mendapat peluang beraksi akhirnya membuahkan hasil apabila pemain sayap England itu menjadi antara watak penting dalam kemenangan Arsenal 1-0 ke atas Hull City dalam aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan Madueke sebagai contoh terbaik buat seluruh pasukan selepas pemain berusia 24 tahun itu mencetuskan jaringan kemenangan Martin Odegaard, sekali gus membantu The Gunners melebarkan kelebihan enam mata di puncak liga.

Madueke yang diberi lebih banyak tanggungjawab susulan kecederaan Bukayo Saka sejak beberapa minggu lalu membuktikan kemampuannya apabila percubaannya gagal ditangkap kemas penjaga gol Hull, Konstantinos Tzolakis sebelum Odegaard pantas menyambar bola muntah untuk menghasilkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-72.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi Arteta, perkembangan positif Madueke bukan sesuatu yang hadir secara kebetulan, sebaliknya hasil disiplin dan kesungguhan pemain itu meningkatkan prestasi diri, termasuk mengambil inisiatif menjalani latihan tambahan di Portugal ketika tidak mendapat banyak minit permainan sebelum ini.

“Dia contoh yang baik untuk seluruh pasukan kerana sebelum rehat antarabangsa pertama, dia tidak bermain.

“Daripada pergi bercuti, dia memilih ke Portugal untuk mendapatkan seseorang yang boleh berlatih bersamanya dan memperbaiki tahap kecergasan serta kondisinya. Sebaik kembali, dia terus mendapatkan rentak permainan,” katanya selepas perlawanan.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak menutup kelemahan Arsenal di hadapan gawang apabila mereka hanya mampu menghasilkan satu gol daripada 21 percubaan, sekali gus memperlihatkan masih ada ruang untuk diperbaiki dalam aspek penyudah.

Arteta tetap berpuas hati dengan komitmen anak buahnya yang berjaya mengekalkan momentum kemenangan meskipun berdepan jadual perlawanan padat, namun mengakui ketajaman penyudah perlu dipertingkatkan bagi memastikan peluang yang dicipta tidak disia-siakan.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk memuji pemain saya. Apa yang mereka lakukan, bukan sahaja hari ini tetapi selepas rehat antarabangsa, cukup luar biasa berdasarkan perlawanan yang perlu ditempuhi.

“Kami terus mencipta peluang, tetapi hantaran terakhir tidak menjadi atau percubaan kami disekat. Kami perlu menterjemahkan peluang yang dicipta ketika menentang lawan kepada jaringan. Itulah perkara yang perlu diperbaiki,” jelasnya.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal meraih kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan liga musim ini, selain mencatat rekod tanpa bolos ketujuh, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pencabar utama kejuaraan musim ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini