PETALING JAYA: Malaysia dan Turkiye menyasarkan nilai perdagangan dua hala meningkat hampir dua kali ganda kepada AS$10 bilion (RM41.8 bilion) menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Pusat Kongres Istanbul.
Beliau berkata, nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada 2025 ialah AS$5.6 bilion (RM23.4 bilion).
Katanya, Malaysia dan Turkiye turut bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan.
“Antara bidang yang berpotensi diterokai ialah pelaburan, industri pertahanan, pemindahan teknologi, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), industri halal dan pengurusan bencana,” katanya.
Pertemuan selama 30 minit itu diadakan selepas perasmian TRT World Forum 2026. Ahmad Zahid berada di Turkiye bagi lawatan kerja selama empat hari sehingga semalam atas jemputan Perbadanan Radio dan Televisyen Turkiye (TRT).
Menurut Ahmad Zahid, Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi yang bermesyuarat buat kali pertama di Ankara pada Januari lalu berperanan menyelaras keutamaan dan mempercepat pelaksanaan kerjasama berkenaan.
Beliau berkata, hubungan strategik itu perlu diterjemahkan kepada inisiatif yang membuka peluang pelaburan, memperkukuh keupayaan industri dan meningkatkan daya saing ekonomi kedua-dua negara.
Dalam pertemuan sama, Ahmad Zahid turut membangkitkan nasib penduduk Gaza.
“Saya menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap konflik yang berterusan serta kesannya terhadap kestabilan serantau, keselamatan orang awam dan situasi kemanusiaan di kawasan terjejas,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha mencapai keamanan berkekalan perlu berasaskan penghormatan terhadap kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam melindungi orang awam atau memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan lebih berkesan untuk meredakan ketegangan dan menamatkan penderitaan penduduk terjejas dengan mengutamakan dialog serta diplomasi.
Ahmad Zahid dan Erdogan turut bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan dan geopolitik di Syria serta Lubnan yang memerlukan perhatian serius masyarakat antarabangsa.
“Saya percaya Malaysia dan Turkiye mempunyai ruang yang luas bagi memperkukuh persefahaman diplomatik dalam menangani isu serantau dan antarabangsa yang membawa implikasi terhadap keamanan serta kestabilan global,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media penutup lawatan kerja empat hari ke Turkiye, Ahmad Zahid berkata, Malaysia mencadangkan supaya Pertubuhan Zakat Antarabangsa (IZO) dihidupkan semula bagi menyelaras pengumpulan dan pengagihan dana zakat di peringkat global, khususnya bertujuan membela nasib negara Islam miskin serta komuniti minoriti Muslim di seluruh dunia. – UTUSAN










