UniKL, UPTM perkukuh kerjasama akademik dengan dua universiti Türkiye

UniKL, UPTM perkukuh kerjasama akademik dengan dua universiti Türkiye

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan program akademik bersama, penyeliaan bersama di peringkat doktor falsafah (PhD) dan penyelidikan teknologi maritim antara bidang yang diberi tumpuan dalam kerjasama institusi pengajian tinggi Malaysia dengan dua universiti di Türkiye.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyaksikan pertukaran dua Surat Kerjasama (LOC) yang melibatkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech MARA (UPTM), Sabancı University dan Yıldız Technical University (YTU).

Katanya, pertukaran dokumen itu berlangsung di Istanbul sempena lawatan rasmi beliau, selepas sesi meja bulat bersama Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ahmad Zahid, kerjasama dengan Sabancı University memberi tumpuan kepada pembangunan program akademik dan penyeliaan bersama di peringkat PhD.

Katanya, kerjasama itu turut meliputi penyelidikan dalam bidang bahan termaju, teknologi digital dan tenaga.

“Sementara itu, kerjasama UniKL MIMET dengan Yıldız Technical University bakal membuka ruang lebih luas dalam bidang kejuruteraan marin, reka bentuk kapal dan penyelidikan teknologi maritim.

“Alhamdulillah, kerjasama pendidikan Mara dengan Türkiye terus menunjukkan perkembangan positif.

“Ketika ini, 17 pelajar tajaan Mara sedang mengikuti pengajian di Sabancı University, termasuk dalam bidang kejuruteraan, mekatronik dan sains data,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerjasama itu dapat memperluas akses kepada pendidikan bertaraf antarabangsa dan memperkukuh keupayaan penyelidikan tempatan.

Katanya, inisiatif tersebut juga dapat membantu melahirkan bakat yang mampu memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

“Bagi saya, kerjasama ini bukan sekadar pertukaran dokumen, tetapi langkah strategik untuk memperluas akses pendidikan bertaraf antarabangsa, memperkukuh keupayaan penyelidikan tempatan dan melahirkan bakat yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.

“Tahniah kepada Mara, UPTM, UniKL dan kedua-dua universiti di Türkiye atas inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini