NARATHIWAT (THAILAND): Rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan milik orang lain untuk memasuki Thailand kini diwajibkan mengemukakan surat kuasa wakil yang dikeluarkan oleh mana-mana mahkamah di Malaysia.
Syarat baharu itu berkuat kuasa serta-merta susulan tindakan Jabatan Kastam Thailand memperketat prosedur undang-undang dan peraturan membawa masuk serta membawa keluar kenderaan, khususnya kereta persendirian, antara kedua-dua negara.
Ketetapan itu sekali gus menyaksikan surat kuasa wakil yang hanya ditandatangani pemilik asal kenderaan tidak lagi diterima seperti amalan sebelum ini bagi mendapatkan permit kemasukan ke Thailand.
Ketua Kawalan dan Pemeriksaan Kastam Sungai Golok, Patikorn Liewweha berkata, peraturan berkenaan mula dikuatkuasakan di Sungai Golok bagi memastikan urusan rentas sempadan antara Thailand dengan Malaysia berjalan lancar, terutama membabitkan kenderaan persendirian.
Katanya, pelancong yang membawa masuk kenderaan ke Thailand perlu menyediakan sijil pendaftaran asal, pasport atau pas sempadan serta surat kuasa wakil daripada mahkamah sekiranya menggunakan kereta milik orang lain.
“Kenderaan yang dibawa dari Malaysia ke Thailand dibenarkan digunakan selama 30 hari, sama seperti tempoh pelancongan yang dibenarkan oleh pihak imigresen.
“Surat kuasa wakil yang dikeluarkan mahkamah bertujuan menghalang kenderaan tidak sah atau dicuri daripada diseludup masuk ke Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Patikorn berkata, pihak kastam turut menyediakan kemudahan lanjutan khas bagi kenderaan yang mengalami kerosakan akibat kemalangan sehingga tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia dalam tempoh dibenarkan.
Katanya, rakyat Malaysia yang terbabit dalam kemalangan perlu menghubungi pejabat kastam sebelum tamat tempoh permit dan mengemukakan dokumen sokongan bagi mengelakkan dikenakan penalti.
“Dokumen berkenaan termasuk gambar kenderaan serta sijil pembaikan daripada bengkel yang memperincikan kerosakan atau kecacatan dialami,” ujarnya.
Patikorn berkata, kenderaan yang gagal dibawa pulang ke negara asal dalam tempoh ditetapkan lazimnya dikenakan denda 1,000 baht (RM121) sehari dengan jumlah maksimum 10,000 baht (RM1,210).
Katanya, jika siasatan mendapati kenderaan berkenaan sengaja tidak dibawa keluar dari Thailand, pemiliknya boleh didakwa atas kesalahan penyeludupan.
Dalam pada itu, Patikorn menasihatkan pelancong Malaysia yang membawa kenderaan supaya memastikan insurans wajib motor yang ditetapkan undang-undang sentiasa tersedia sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
“Bagi mempercepatkan proses pengisytiharan kastam, pemohon boleh mengemukakan maklumat kenderaan menerusi aplikasi TTA sekali gus mengurangkan masa memasukkan data di pintu masuk.
“Semua pihak, terutama pelancong Malaysia, diminta mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan urusan rentas sempadan berjalan lancar, cekap dan mengikut lunas undang-undang,” katanya. – UTUSAN











