Rakyat mahu nikmati manfaat pelaburan asing 

Rakyat mahu nikmati manfaat pelaburan asing 

LEBIH ramai anak tempatan dijangka berpeluang bekerja dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan pengurusan data, bukannya hanya mengisi jawatan peringkat sokongan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMASUKAN pelaburan syarikat antarabangsa seperti Daiso dan Google mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi Malaysia, namun manfaat daripada perkembangan itu perlu turut dirasai rakyat khususnya dari segi peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan.

Selain membuka peluang pekerjaan baharu, kehadiran syarikat multinasional juga diharap dapat memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk memperoleh pengalaman, mempelajari teknologi baharu dan mengisi jawatan berkemahiran tinggi.

Pekerja swasta, Nur Amirah Nazifa Mazlan, 27, berkata, kemasukan syarikat antarabangsa ke Malaysia memberikan gambaran positif terhadap prospek ekonomi negara, terutama apabila pelaburan berkenaan melibatkan sektor berteknologi tinggi dan infrastruktur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebagai pekerja tempatan, dia melihat pelaburan syarikat besar seperti Google bukan sekadar membawa masuk modal asing, sebaliknya berpotensi membuka laluan kepada rakyat untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan kemahiran dan pengalaman lebih baik.

“Bagi saya, perkara paling penting bukan sekadar berapa banyak syarikat asing melabur di Malaysia, tetapi sejauh mana rakyat tempatan dapat menikmati peluang yang dibawa oleh pelaburan tersebut.

“Kalau syarikat seperti Google membuka pusat data, saya berharap lebih ramai anak tempatan diberi peluang bekerja dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan pengurusan data, bukannya hanya mengisi jawatan peringkat sokongan.

“Pendedahan kepada teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan automasi juga boleh membantu pekerja tempatan meningkatkan kemahiran serta menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, peluang mengikuti latihan dan memperoleh pensijilan profesional daripada syarikat antarabangsa mampu meningkatkan nilai seseorang pekerja, sekali gus membuka ruang untuk mereka mendapatkan perkembangan kerjaya yang lebih baik.

Sementara itu, pelajar, Nor Arisha Natasha Mustapar, 25, berkata, pelaburan Daiso sebanyak RM1.2 bilion untuk membina pusat pengedaran global terbesarnya di Pulau Indah memberi harapan kepada golongan muda yang bakal memasuki pasaran pekerjaan.

Menurutnya, pembukaan pusat pengedaran berskala besar itu berpotensi menyediakan peluang pekerjaan dalam bidang logistik, pengurusan gudang dan rantaian bekalan, selain memberi pendedahan kepada sistem pengedaran yang digunakan syarikat antarabangsa.

“Sebagai pelajar yang bakal memasuki alam pekerjaan, saya melihat pelaburan seperti ini sebagai satu peluang untuk mendapatkan pekerjaan dan pengalaman dalam industri yang lebih besar.

“Namun, saya berharap syarikat berkenaan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan serta menyediakan latihan supaya mereka bukan sahaja bekerja di situ, tetapi turut berpeluang mempelajari sistem pengurusan dan teknologi yang digunakan.

“Bagaimanapun, peluang yang diwujudkan perlu disertai laluan perkembangan kerjaya yang jelas supaya pekerja tempatan tidak hanya terhad kepada jawatan berkemahiran rendah,” katanya.

Tambah Arisha, kehadiran syarikat multinasional juga boleh memberi manfaat kepada perusahaan tempatan sekiranya mereka diberi peluang menjadi pembekal barangan atau perkhidmatan kepada syarikat berkenaan.

“Kalau syarikat tempatan dapat menjadi vendor kepada Daiso, mereka bukan sahaja memperoleh pelanggan baharu, malah berpeluang mempelajari standard operasi dan kualiti yang diperlukan syarikat antarabangsa.

“Peluang seperti ini boleh membantu perniagaan tempatan berkembang, tetapi pada masa sama mereka perlu bersedia memenuhi standard yang ditetapkan supaya tidak ketinggalan,” katanya.

Dalam pada itu, guru, Hamidah Abdullah, 24, berkata, kehadiran syarikat antarabangsa seperti Daiso dan Google memberikan keyakinan bahawa Malaysia masih menjadi pilihan pelabur, namun perkara yang lebih penting ialah kesan langsung pelaburan itu terhadap kehidupan rakyat.

“Saya rasa peluang pekerjaan yang diwujudkan perlu seiring dengan kadar gaji dan kemahiran yang bersesuaian supaya rakyat bukan sahaja mendapat pekerjaan, malah berpeluang meningkatkan taraf hidup.

“Bagi saya, kalau semakin banyak syarikat besar masuk ke Malaysia tetapi rakyat tempatan masih sukar mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka, manfaat pelaburan itu mungkin tidak dirasai sepenuhnya.

“Saya berharap syarikat asing memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk memegang jawatan lebih tinggi dan menyediakan latihan supaya mereka boleh berkembang bersama syarikat tersebut,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini