Tentera Israel tembak kanak-kanak Palestin di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Tentera Israel tembak kanak-kanak Palestin di Tebing Barat

SERANGAN pendatang haram Yahudi kian meningkat di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Tentera Israel menembak dan mencederakan seorang kanak-kanak Palestin serta menahan dua lelaki dalam beberapa serbuan di Tebing Barat yang diduduki lewat Sabtu, menurut laporan media Palestin.

Saluran televisyen Palestine TV melaporkan kanak-kanak itu ditembak pada bahagian kaki ketika serbuan berhampiran kawasan kejiranan Kafr Saba di bandar Qalqilya, utara Tebing Barat.

Agensi berita rasmi Wafa secara berasingan melaporkan tentera menahan seorang lelaki di rumahnya di Hebron dan seorang lagi di Taybeh, timur Ramallah. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenderaan milik lelaki kedua itu turut dirampas.

Sementara itu, di Hebron, tentera menyerbu sebuah lagi rumah, mengurung anggota keluarga di dalam sebuah bilik dan menggeledah seluruh kediaman berkenaan.

Ratusan peneroka Israel memasuki Bandar Lama di bandar itu dengan perlindungan tentera dan memaksa pemilik kedai menutup premis masing-masing. 

Peneroka turut menyerang sebuah rumah penduduk Palestin di Jalan Al-Shuhada dengan memecahkan tingkap kediaman itu.

Dalam pada itu, di barat Jenin, peneroka menyerang penduduk Palestin yang sedang menuai buah zaitun dan merampas sebuah traktor dan sejumlah hasil tuaian mereka. 

Seorang peneroka haram Yahudi menyerang seorang lelaki Palestin dan mencuri barang-barang miliknya di Kisan, timur Bethlehem.

Agensi berita Wafa turut melaporkan pertempuran antara penduduk Palestin dengan tentera Israel ketika serbuan di Dura al-Qara dan Ni’lin, kawasan Ramallah.

Tentera Israel turut menyerbu empat bandar, mengganggu kelancaran lalu lintas dan melepaskan bom tangan kejut di Tulkarem  tiada kecederaan atau penahanan dilaporkan.

Radio Voice of Palestine melaporkan beberapa lagi serbuan dilakukan di bandar dan kampung sekitar kawasan Bethlehem, Nablus, Tubas, Jenin dan Ramallah.

Serbuan tentera Israel dan serangan oleh peneroka haram Yahudi semakin meningkat di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, sejak Oktober 2023, dengan pelbagai laporan mengenai pembunuhan, penahanan, perobohan rumah, serangan membakar bangunan, kerja-kerja meratakan tanah menggunakan jentolak dan pemindahan paksa komuniti Palestin.

Pada Rabu, pendatang haram Yahudi merampas lapan buah kediaman milik warga Palestin di perkampungan Al-Duyuk al-Tahta yang terletak di barat Jericho, Tebing Barat yang diduduki.

Laporan agensi berita rasmi Palestin, Wafa yang memetik sumber keselamatan memaklumkan bahawa pendatang haram Yahudi hadir bersama keluarga mereka sebelum bertindak memecahkan pintu dan menduduki kediaman terbabit sewaktu pemiliknya tiada di rumah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini