Oriental Kopi terus unjur pelan pengembangan 

Oriental Kopi terus unjur pelan pengembangan 

PERANCANGAN pembukaan cawangan Oriental Kopi kekal mengikut jadual apabila kumpulan menyasarkan untuk memiliki 40 hingga 41 cawangan di Malaysia menjelang akhir 2026, berbanding 34 cawangan pada Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontroversi berhubung penggunaan bahasa pada menu Oriental Kopi Holdings Berhad pada Oktober lalu dilaporkan tidak menjejaskan kehadiran pelanggan, susulan tindakan pantas pengurusan memperkenalkan menu baharu dalam tiga bahasa.

Menurut nota penyelidikan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, pihak pengurusan mengesahkan tiada perubahan ketara dari segi jumlah kunjungan atau profil pelanggan dicatatkan selepas isu berkenaan timbul.

“Menu baharu itu mula digunakan pada November 2026 dengan kos cetakan semula dianggarkan kira-kira RM150,000, dan pelaksanaannya di semua cawangan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, tiga cawangan terbaharu di Sunway 163, Aman Central dan Merdeka 118 terus menerima sambutan amat menggalakkan dengan barisan panjang pelanggan,” katanya. 

Dari aspek peluasan rangkaian, perancangan pembukaan cawangan Oriental Kopi kekal mengikut jadual apabila kumpulan menyasarkan untuk memiliki 40 hingga 41 cawangan di Malaysia menjelang akhir 2026, berbanding 34 cawangan pada Julai lalu.

Dengan enam lokasi pusat beli-belah baharu telah dimeterai, syarikat mempamerkan trajektori kukuh untuk membuka lapan hingga 10 cawangan baharu setiap tahun bagi tempoh sederhana.

Firma penyelidikan itu turut menjangkaukan jumlah rangkaian cawangan Oriental Kopi boleh meningkat kepada 51 buah menjelang 2028, didorong peralihan strategi ke pusat beli-belah kategori kedua bagi mengekang kos sewaan manakala tempoh pulangan modal kekal pantas pada kadar 10 hingga 12 bulan.

Segmen pasaran antarabangsa turut digerakkan sebagai enjin pertumbuhan kedua, bermula dengan pembukaan cawangan sulung di Indonesia menjelang akhir November atau awal Disember 2026, disusuli Mauritius pada suku pertama 2027 serta perancangan dua cawangan di Singapura sepanjang 2027.

CGS International berpandangan risiko pelaksanaan luar negara adalah terkawal memandangkan syarikat mengambil pendekatan berperingkat berserta model kerjasama rakan kongsi tempatan secara usaha sama atau francais.

Dari sudut prestasi kewangan, CGS International mengekalkan unjuran keuntungan bersih Oriental Kopi pada paras RM67.4 juta bagi tahun kewangan berakhir September 2026 (FY2026), sebelum melonjak kepada RM91 juta untuk FY2027 dan RM126.9 juta pada FY2028.

Bagi suku keempat FY2026 sahaja, keuntungan bersih teras diunjurkan mencecah RM22 juta, iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus tahun ke tahun dan 29.4 peratus suku ke suku, disokong sumbangan cawangan baharu serta kestabilan margin keuntungan kasar ekoran harga bahan mentah terkawal.

Sehubungan itu, firma mengekalkan saranan “Tambah” terhadap saham Oriental Kopi dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.37, berbanding harga semasanya sebanyak RM0.835.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini