TEHERAN: Ketua perunding Iran dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) mendakwa rakyat negara itu menyatakan pendirian menolak peperangan susulan kekalahan besar Parti Republikan pimpinan Presiden, Donald Trump dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Perkara itu ditegaskan Speaker Parlimen Iran, Mohammed Bagher Ghalibaf menerusi platform X.
“Kami menyokong mesej ini. Jika kerajaan AS mengkhianati kehendak rakyatnya demi memenuhi kepentingan pihak luar dan mereka yang memeras ugut, ia akan menyedari penolakan kami membawa mimpi ngeri,” katanya.
Trump pada Selasa mengakui keputusan buruk calon Republikan dalam pilihan raya Kongres sebahagiannya berpunca daripada perang serta kenaikan mendadak harga petrol.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak menyesal melancarkan serangan bersama Israel terhadap Iran pada Februari lalu.
Dalam temu bual bersama Fox News, Trump berkata, keputusan pilihan raya pertengahan penggal itu sebahagiannya dipengaruhi oleh isu Iran.
“Orang ramai bersetuju dengan tindakan saya terhadap Iran, tetapi mereka mungkin tidak sanggup menanggung kesan jangka pendek berupa kenaikan harga petrol. Saya faham perkara itu,” katanya.
Sejak beberapa minggu lalu, Trump memberi amaran Washington dan Israel mungkin kembali melancarkan perang habis-habisan jika perjanjian untuk menamatkan konflik dengan Iran gagal dicapai selepas pilihan raya pertengahan penggal.
Dalam temu bual bersama Financial Times menjelang pilihan raya pertengahan penggal, Trump menyatakan beliau berpuas hati dengan perkembangan konflik itu dan tidak menganggap situasi berkenaan sebagai benar-benar suatu peperangan.
Ketika ditanya mengenai petunjuk jelas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa serangan terhadap Iran mungkin dilancarkan minggu ini, Trump berkata, pasukan tentera AS berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya diperlukan, namun serangan itu mungkin tidak perlu dilakukan.
Rundingan tidak langsung bagi menamatkan konflik itu masih terbantut sejak beberapa bulan lalu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa menegaskan kerajaannya berusaha menyelesaikan krisis berkenaan menerusi dialog.
“Tiada siapa akan mendapat manfaat daripada perang ini sekiranya konflik kembali tercetus,” katanya.
Beliau turut menegaskan Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei memberikan kerajaan kuasa untuk merundingkan isu yang sebelum ini dianggapnya sebagai perkara yang tidak boleh dibincangkan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqai pada Isnin berkata, asas rundingan tidak langsung yang sedang berlangsung dengan pengantaraan Qatar kekal berpandukan cadangan tujuh langkah yang dikemukakan Iran pada September lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan itu dipadatkan bagi membolehkan pelaksanaannya diselesaikan dalam tempoh dua hari.
Iran menegaskan tidak akan melepaskan sebahagian kawalannya ke atas laluan perairan Selat Hormuz dan mula menyasarkan kapal yang menggunakan laluan selatan melalui perairan Oman bagi mengelakkan laluan pilihannya yang merentasi perairan Iran.
Bagi memastikan eksport minyak negara-negara Arab Teluk terus berjalan, tentera AS menyediakan kawalan keselamatan kepada kapal tangki yang berulang-alik membawa minyak melalui Selat Hormuz.-AGENSI











