DETROIT: Calon Demokrat, Abdul El-Sayed memenangi kerusi Senat Amerika Syarikat (AS) di Michigan, menewaskan bekas anggota Kongres Republikan, Mike Rogers, menurut laporan rangkaian televisyen AS awal Rabu, sekali gus menjadi Muslim pertama dipilih ke Dewan Senat Kongres.
El-Sayed menang walaupun berdepan kejutan pada saat akhir kempen apabila anggota Kongres, Haley Stevens, yang tewas dalam pemilihan utama Demokrat kepada El-Sayed, menyatakan sokongan kepada Rogers pada saat-saat akhir.
“Michigan, kita Berjaya!. Saya amat bangga dan berbesar hati berdiri di sini sebagai Senator pilihan anda dari negeri Michigan yang hebat,” kata El-Sayed dalam ucapan di hadapan ratusan penyokong yang bersorak dan berpelukan di ibu pejabat kempennya di Detroit.
Pentadbir perubatan itu meraih sokongan pengundi menerusi janji kempen berhaluan kiri, termasuk penjagaan kesihatan sejagat, sekali gus membantu Demokrat memenangi kerusi penting Senat AS yang ditinggalkan Gary Peters selepas bersara.
El-Sayed mendahului Rogers hampir enam mata peratusan ketika rangkaian televisyen mengumumkan kemenangannya.
Republikan melancarkan kempen menyerang habis-habisan dengan menggambarkan Demokrat sebagai komunis dan melabel El-Sayed sebagai pengganas yang akan membahayakan rakyat Amerika.
Bagaimanapun, El-Sayed, 42, yang terkenal dengan gaya berterus terang, berjanji membantu pengundi yang terhimpit kewangan menghadapi sistem penjagaan kesihatan AS yang berpecah-belah dan berorientasikan keuntungan.
“Anda berhak mendapatkan rawatan doktor tanpa perlu membayar bil yang terlalu tinggi,” katanya kepada penduduk Michigan menjelang hari pengundian, sambil berikrar merombak sistem perubatan AS yang memecahbelahkan masyarakat dan bernilai berbilion-bilion dolar itu.
Sepanjang kempen, El-Sayed menarik kehadiran ramai penyokong di seluruh negeri, termasuk di kawasan yang dikuasai kuat oleh Republikan konservatif.
Beliau turut berikrar untuk menghapuskan pengaruh wang dalam politik dan menangani kesukaran ekonomi yang mendorong pengundi mengharapkan pendatang baharu dalam politik untuk mengubah status quo.
Kemenangan itu menjadikan El-Sayed doktor Demokrat pertama yang menganggotai Senat sejak 1969.
Parti Demokrat turut berjaya merampas penguasaan kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat dalam kemenangan besar bersejarah, menurut unjuran CNN.
Presiden AS, Donald Trump memberitahu The New York Times beliau akan menerima keputusan pilihan raya. Dalam temu bual dengan Fox News, beliau berkata, tidak melihat kekalahan Republikan itu sebagai tamparan terhadap dirinya.
Pada majlis kemenangan itu, orang ramai berkumpul di hadapan televisyen yang menyiarkan saluran berita kabel berhaluan kiri, MS NOW, sambil bersorak setiap kali warna biru yang menjadi identiti Demokrat muncul di skrin bagi mengumumkan satu lagi kemenangan parti itu.
“ Tsunami! Tsunami!” laung perancang media Parti Demokrat, Ondine Fortune, 64.-AFP/AGENSI











