Pelaburan RM61b Google buka 37,000 peluang pekerjaan setiap tahun

Pelaburan RM61b Google buka 37,000 peluang pekerjaan setiap tahun

ANWAR Ibrahim merasmikan program Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaburan Google bernilai AS$15 bilion (RM61 bilion) di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion (RM4.48 bilion) setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang fasa pembinaan.

Selain itu, ia turut membuka lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, pelaburan bagi tempoh 2027 hingga 2028 itu akan memperluas infrastruktur digital syarikat menerusi pembangunan kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pengembangan itu meneruskan pembangunan kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor yang kini beroperasi sepenuhnya.

“Saya amat berbesar hati untuk meneruskan usaha itu dan mengumumkan pelaburan AS$15 bilion di Malaysia.

“Kami amat teruja untuk memperluas infrastruktur digital di sini secara bertanggungjawab, melabur dalam pengurusan sumber dan inisiatif tenaga bersih, selain program peningkatan kemahiran baharu bagi membuka peluang ekonomi kepada rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Mantap Malaysia Bersama AI yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, fasa pembinaan itu dijangka menjana purata pendapatan tenaga kerja tahunan sebanyak AS$378 juta (RM1.54 bilion), termasuk menyediakan 6,000 pekerjaan dalam sektor pembinaan.

Katanya, apabila mula beroperasi, kemudahan berkenaan dijangka menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan setiap tahun dengan purata gaji 45 peratus lebih tinggi berbanding median nasional.

Peluang pekerjaan itu merangkumi jawatan khusus seperti juruteknik pusat data, jurutera mekanikal dan elektrikal, pengurus operasi logistik serta pengurus keselamatan fizikal.

Google turut bekerjasama dengan lebih 80 entiti tempatan dalam sektor pembinaan, kejuruteraan awam, infrastruktur rangkaian, sistem kuasa dan penyejukan, logistik serta perkhidmatan sokongan lain bagi membangunkan dan mengendalikan infrastrukturnya.

Menurutnya, kerjasama itu dijangka membolehkan pembekal domestik meningkatkan keupayaan serta memperluas peranan dalam rantaian nilai di peringkat tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini