Pang Ron-Pei Jing mara ke pusingan kedua Terbuka Korea

Pang Ron-Pei Jing konsisten mara ke pusingan kedua Terbuka Korea

BEREGU Campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing terus mempamerkan keserasian sejak digandingkan bersama Mei lalu apabila mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea di Yeosu, Korea Selatan, hari ini.

Pasangan yang kini menghuni ranking No. 15 dunia itu menyingkirkan beregu muda Thailand, Tonkid Saeheng-Tonrug Saeheng 21-10, 21-14 dalam masa 30 minit di peringkat 32 terbaik.

Pada pusingan kedua, esok, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan wakil Australia, Xie Zewei-Zhang Yuran / wakil tuan rumah, Jin Sung Ik-Lee Seung Hee.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam tempoh enam bulan sejak digandingkan bersama, Pang Ron-Pei Jing berjaya mara ke final Jelajah Dunia BWF sebanyak dua kali iaitu pada China Masters dan Terbuka Perancis, sebelum tunduk kepada jaguh No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Mereka juga berjaya menjejakkan kaki sehingga ke separuh akhir pada Terbuka Macau dan Terbuka Denmark.

Kini di Terbuka Korea, Pang Ron-Pei Jing mencuba nasib lagi untuk memburu gelaran sulung mereka, tetapi, seandainya melepasi halangan pusingan kedua, mereka dijangka berdepan beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China di suku akhir.

Satu lagi beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Chan Wan Tse turut melepasi halangan awal setelah menewaskan Andika Ramadiansyah-Nozomi Shimizu dari Australia 21-9, 21-14 dalam masa 25 minit.

Bagaimanapun, laluan getir menanti mereka di pusingan seterusnya selepas dijadual menentang gandingan No. 8 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi dari China yang diletakkan sebagai pilihan ketiga.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki pula, pasangan dua negara iaitu Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem mengetepikan wakil tuan rumah, Hyun Su Min-Lee Sang Min 21-17, 21-23, 21-16 dalam masa 1 jam 2 minit.

Sekiranya berhajat untuk menempah slot ke suku akhir, beregu ke-47 itu perlu terlebih dahulu berdepan pasangan No. 14 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Dalam aksi perseorangan wanita, nasib berbeza mengiringi dua wakil negara apabila hanya K. Letshanaa yang meneruskan kemaraan, manakala, Wong Ling Ching terkandas di peringkat 32 terbaik.

Letshanaa yang kini berada di ranking No. 28 dunia membenam Tonrug Saeheng 21-17, 21-18 dalam masa 47 minit.

Namun begitu, nasib anak jati Selangor itu kurang baik, apabila wakil tuan rumah yang merupakan jaguh No. 1 dunia, An Se Young menantinya di peringkat 16 terbaik.

Ling Ching pula terpaksa akur kepada pemain muda Indonesia, Thalita Ramadani Wiryawan 17-21, 23-21, 20-22 dalam masa 1 jam 10 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini