Google umum pelaburan RM61b di Malaysia - Utusan Malaysia

Google umum pelaburan RM61b di Malaysia

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaburan tambahan Google sebanyak AS$15 bilion (RM61 bilion) di Malaysia bukan sahaja pencapaian bersejarah bahkan mengesahkan hasrat negara untuk menjadi sebuah pusat data perdana di Asia Tenggara.

Pelaburan itu turut membabitkan pembangunan kampus pusat data cekap tenaga di zon perindustrian, kerjasama meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, selain menambah kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu membuktikan keyakinan syarikat teknologi global terhadap kestabilan, keupayaan tenaga kerja serta cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai hab digital utama di Asia Tenggara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) dalam skala besar amat penting kepada dinamisme ekonomi negara, selain menyediakan modal bagi pengembangan ekonomi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) global.

“Aliran masuk modal dengan magnitud sedemikian menyediakan ‘bahan api’ penting untuk pengembangan makro-ekonomi, ia membina kesan fizikal yang canggih, menandakan keyakinan berdaulat kepada pasaran global, dan meletakkan kedudukan kita di barisan hadapan revolusi kecerdasan buatan (AI) global.

“Malaysia meraikan komitmen ini sebagai satu pencapaian yang monumental,” katanya pada acara Mantap Malaysia Bersama AI di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sasaran jangka panjang, apabila kemudahan itu mula beroperasi, pelaburan diunjurkan menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan secara berterusan setiap tahun, dengan purata gaji 45 peratus lebih tinggi berbanding median nasional.

Ia melibatkan jawatan khusus seperti juruteknik pusat data, jurutera mekanikal dan elektrikal serta pengurus operasi logistik.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kejayaan sesebuah pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai modal yang dibawa masuk semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi sumbangannya terhadap pembangunan industri tempatan, modal insan dan pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menggariskan keperluan memastikan setiap pelaburan menyokong agenda pembangunan jangka panjang negara.

“Dalam merealisasikan perancangan pelaburan ke Malaysia ini, Google telah bekerjasama dengan lebih daripada 80 entiti Malaysia merentasi kejuruteraan awam, sistem kuasa, spesifikasi IT yang memberi infrastruktur, dan logistik.

“Bukan atas dasar kewajipan, tetapi kerana syarikat Malaysia cekap, berdisiplin, dan berdaya saing pada terma bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Google mengumumkan rancangannya bagi pembangunan infrastruktur digital yang bertanggungjawab di Malaysia, termasuk pelaburan sebanyak AS$15 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pelan bersepadu Google merangkumi pembangunan kampus pusat data yang cekap tenaga di zon perindustrian serta kerjasama baharu untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, memperkukuh jaminan bekalan air tempatan dan menambah kapasiti tenaga bersih melebihi 1 gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.

Pelaburan terbaharu ini meneruskan kehadiran Google selama lebih 15 tahun di Malaysia dan memperluas pelaburan infrastruktur digital syarikat yang diumumkan pada 2024.

Bagi menyokong fasa pertumbuhan Malaysia yang seterusnya dan memenuhi permintaan tempatan yang semakin meningkat, infrastruktur Google di negara ini akan menyediakan kapasiti pengkomputeran bertaraf dunia yang diperlukan untuk menjalankan aplikasi digital dan AI generasi baharu yang dibangunkan di Malaysia.

Infrastruktur ini juga akan menyokong perkhidmatan Google seperti Search, Maps dan Chrome yang digunakan setiap hari oleh jutaan orang dan organisasi di seluruh Malaysia serta rantau Asia Pasifik.

Rangkaian infrastruktur ini merangkumi kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor, yang kini telah beroperasi, serta kampus baharu yang dirancang di Selangor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini