Kerajaan kaji garis panduan perkhidmatan badal haji

Kerajaan kaji garis panduan perkhidmatan badal haji

MARHAMAH ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menjalankan kajian bagi mewujudkan garis panduan perkhidmatan badal haji, termasuk meneliti kebolehlaksanaan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat atau individu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, kajian itu dilaksanakan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sebagaimana diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Katanya, garis panduan hasil kajian berkenaan akan dibentangkan kepada MKI sebelum dijadikan rujukan kepada masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan memandang serius sebarang bentuk penipuan yang mempergunakan urusan ibadah untuk mengaut keuntungan.

“Justeru, usaha memperkukuh garis panduan, meningkatkan kesedaran masyarakat serta kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan akan terus diberikan perhatian bagi melindungi kepentingan umat Islam dan mengelakkan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan perkhidmatan badal haji,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung mekanisme semakan awal terhadap identiti pengiklan, status syarikat, lesen, akaun penerima bayaran serta kesahihan dakwaan pelaksanaan badal haji sebelum iklan dipromosikan kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Marhamah berkata, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan dasar ‘Tiada Haji, Tanpa Permit’ dengan peraturan ketat bagi pelaksanaan ibadah itu termasuk keperluan memiliki visa atau permit haji yang sah.

Katanya, selaras dengan ketetapan itu, Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan kempen ‘Tiada Visa, Tiada Haji’ yang turut merangkumi individu yang ingin melaksanakan badal haji bagi pihak orang lain.

“Ketetapan ini perlu diberikan perhatian serius kerana pelaksanaan badal haji bukan sahaja tertakluk kepada syarat dan peraturan Kerajaan Arab Saudi, malah melibatkan kos yang tinggi.

“Justeru, penawaran perkhidmatan badal haji pada harga yang terlalu rendah menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dan kebolehlaksanaan perkhidmatan tersebut, sekali gus meningkatkan risiko masyarakat menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata, JAWHAR dan TH akan terus mempergiat penerangan, kesedaran serta hebahan melalui tazkirah di masjid dan surau, kempen di media sosial serta siri jelajah ke seluruh Malaysia.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menyemak latar belakang penyedia perkhidmatan, kesahihan tawaran dan maklumat penerima bayaran sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Sebarang aduan berhubung penawaran perkhidmatan yang mengelirukan atau berunsur penipuan boleh dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini