Sultan Pahang nasihat rakyat sentiasa waspada sepanjang musim tengkujuh - Utusan Malaysia

Sultan Pahang nasihat rakyat sentiasa waspada sepanjang musim tengkujuh

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan seluruh rakyat khususnya yang menetap di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat dan arahan dikeluarkan kerajaan serta agensi berkaitan sepanjang musim tengkujuh.

Baginda bertitah, aspek keselamatan diri dan keluarga hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu serta risiko hujan berterusan yang boleh mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.

“Sehubungan itu, Baginda menyeru penduduk di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai supaya mengambil langkah persediaan awal, termasuk mengamankan dokumen penting, memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah sebarang amaran cuaca dan banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Selain itu, baginda turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan.

“Dalam pada itu, Baginda berharap seluruh agensi pengurusan bencana, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Baginda juga menyeru rakyat agar mengutamakan semangat kebersamaan, saling membantu dan prihatin terhadap golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta mereka yang memerlukan bantuan, khususnya ketika menghadapi situasi kecemasan,” katanya.

Sultan Pahang turut menzahirkan harapan segala langkah persediaan dan tindakan awal yang dilaksanakan dapat membantu mengurangkan risiko serta kesan bencana, sekali gus memastikan keselamatan seluruh rakyat Pahang sepanjang musim tengkujuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini