PETALING JAYA: Pimpinan politik diingatkan supaya tidak terlalu ghairah bermain politik dalam isu Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak, sehingga melupakan prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.
Memberi peringatan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebarang pertikaian berhubung pengampunan bersyarat Najib perlu diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui dalam sesi Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 bahawa beliau membawa pengampunan Najib dalam agenda Lembaga Pengampunan untuk dibincangkan.
Katanya, ia membuktikan bahawa pemimpin utama PH sendiri yang membawa agenda pengampunan bekas Perdana Menteri itu ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Inilah perangai sebenar mereka dan ini bukan kali pertama Tony Pua dan konco-konco DAP mencetuskan hasutan dan kontroversi melibatkan institusi diraja. Sebelum ini pun beliau pernah disiasat polis susulan kenyataannya berhubung titah Sultan Selangor.
“Kini, sekali lagi Istana mahu diheret ke dalam pertikaian politik. Kebiadaban dan penderhakaan kepada Raja tidak boleh dinormalisasikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, kuasa pengampunan adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub di dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan manakala memohon pengampunan merupakan hak setiap banduan.
Tambahnya, keputusan untuk memberikan Perintah Pengampunan Bersyarat bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah dibuat melalui proses Lembaga Pengampunan yang turut melibatkan wakil Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara.
“Malah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menitahkan bahawa perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas dan hendaklah dihormati. Baginda turut menegaskan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan adalah sama seperti mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi, mengapa Tony Pua masih mahu rakyat mengajukan persoalan kepada Istana? Kalau ada persoalan mengenai pelaksanaannya, tanyalah pihak yang bertanggungjawab. Jangan pula Istana dijadikan sasaran pertikaian politik.
“Jangan terlalu ghairah berpolitik sehingga lupa prinsip kedua Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Tony Pua didakwa mempersenda institusi Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat Najib.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, mencadangkan kerajaan memberikan peluang kepada semua banduan, menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara dan bakinya menerusi tahanan di rumah.
Dalam pada itu, Majlis Peguam memfailkan permohonan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah Najib, dengan alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang Malaysia. – UTUSAN











