MELAKA: Bukan hanya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook perlu meletak jawatan Menteri Pengangkutan, sebaliknya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh juga sepatutnya berbuat demikian sekiranya benar-benar berpegang kepada prinsip.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan melepaskan jawatan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin DAP sahaja, sekiranya terdapat pendirian yang jelas menentang sesuatu keputusan atau dasar berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, tindakan segelintir pemimpin DAP yang mendakwa mempertahankan prinsip perlu dipersoal kerana pada masa sama masih kekal dalam kedudukan dan jawatan disandang.
“Kalau betul menentang prinsip terhadap apa yang berlaku, letak jawatan semua. Betul atau tidak?
“Takkan hanya seorang sahaja letak jawatan, kononnya kami menentang prinsip,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Grand Finale Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di hadapan Masjid An-Nur, Kampung Krubong di sini malam tadi.
Tuan Ibrahim turut menyentuh isu pelaksanaan tahanan di rumah Najib dengan menegaskan perkara itu perlu dilihat berdasarkan proses serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, tahanan di rumah bukan bermaksud seseorang itu dibebaskan sepenuhnya, sebaliknya hukuman tetap dilaksanakan mengikut bentuk yang diputuskan.
“Dia bukan bebas. Dia terus ditahan. Dipenjara menjadikan rumah sebagai tempat tahanan, bukan bebas seperti yang digambarkan oleh musuh-musuh politik. Bagi kita, ini melibatkan hak prerogatif yang ada pada Yang di-Pertuan Agong dan proses Lembaga Pengampunan.
“Apakah kita hendak menolak keputusan Yang di-Pertuan Agong? Apakah kita hendak menolak proses dan mandat yang diberikan kepada Lembaga Pengampunan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong?,” katanya.
Beliau berkata, Pas dan PN menghormati proses undang-undang serta tidak akan berkompromi dalam perkara yang bercanggah dengan peraturan.
Katanya, prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh hanya disebut secara retorik, sebaliknya semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat melalui proses yang sah.
“Hukuman tetap hukuman, kesalahan tetap kesalahan. Kalau semua pihak melalui proses yang berjalan, maka kita menghormati proses tersebut,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, kerjasama politik antara Pas, PN dan BN perlu dilihat dalam kerangka perjuangan serta matlamat jangka panjang dan bukan semata-mata berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi.
Beliau berkata, keputusan PN untuk bertanding di kerusi tertentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuat dengan mengambil kira strategi lebih besar bagi mengukuhkan kerjasama antara parti-parti.
“Jangan kita tengok hanya pada kerusi yang kita bertanding atau matlamat yang pendek. Setiap kali kita masuk pilihan raya, ada matlamat jangka pendek dan ada matlamat jangka panjang,” katanya. – UTUSAN











