MEDIA sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat, khususnya golongan remaja.
Platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook bukan sekadar ruang hiburan, malah turut menjadi saluran untuk mendapatkan ilmu serta mengikuti perkembangan semasa. Namun, penggunaan tanpa kawalan boleh menyebabkan remaja terlalu bergantung pada dunia maya sehingga mengabaikan kehidupan sebenar.
Teknologi sepatutnya menjadi alat untuk memajukan diri, bukannya menguasai masa dan perhatian penggunanya.
Tidak dapat dinafikan media sosial menawarkan pelbagai manfaat. Remaja boleh mempelajari perkara baharu, berkongsi pandangan dan berhubung dengan orang lain tanpa batasan jarak.
Walau bagaimanapun, penyalahgunaannya boleh membawa kesan buruk seperti ketagihan telefon pintar, buli siber dan penyebaran berita palsu. Budaya membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain juga boleh menjejaskan keyakinan diri, terutama apabila terlalu mengejar tanda suka dan jumlah pengikut.
Lebih membimbangkan, ada remaja yang mula mengukur nilai diri berdasarkan perhatian yang diterima di alam maya. Mereka sanggup menghabiskan masa untuk membina imej dalam talian sehingga mengabaikan pelajaran, hubungan keluarga dan tanggungjawab harian. Hakikatnya, harga diri seseorang tidak ditentukan oleh populariti atau jumlah pengikut, sebaliknya terbina melalui ilmu, akhlak dan keperibadian yang baik.
Justeru, remaja perlu bijak mengurus masa serta menetapkan batas penggunaan media sosial. Ibu bapa dan pihak sekolah pula wajar memberikan bimbingan tentang keselamatan siber, etika komunikasi serta cara menilai kesahihan maklumat.
Pendidikan digital penting supaya golongan muda bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, malah mampu mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan kandungan yang tidak bermanfaat.
Sebagai generasi pewaris masa depan negara, remaja perlu menguasai teknologi dengan bijaksana, bukannya menjadi hamba kepadanya. Jangan terlalu sibuk membina imej di alam maya sehingga terlupa membentuk jati diri dan merancang masa depan di dunia sebenar.-UTUSAN
AISYAH XARA
Sri Ayesha Islamic School
Bangi, Selangor











