Jangan normalisasikan buli siber

Jangan normalisasikan buli siber

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebebasan bersuara dan mengkritik perlu diamalkan secara beradab dan bertanggungjawab khususnya dalam penggunaan media sosial supaya budaya buli siber tidak menjadi amalan rakyat Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar perbezaan pandangan tidak harus dijadikan alasan untuk melakukan tindakan tidak bertanggungjawab di luar batas undang-undang.

Katanya, perbuatan sedemikian tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat yang menghormati hak bersuara dan nilai hormat-menghormati diamalkan di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan mengkritik perlu diamalkan secara beradab serta bertanggungjawab.

“Perbezaan pandangan tidak harus dijadikan alasan untuk melakukan sebarang bentuk buli siber, termasuk gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi atau penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan dan maruah individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab khususnya dalam penggunaan media sosial.

MCMC berkata, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap kebimbangan Seri Paduka mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan fitnah dan kebencian.

“MCMC akan terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat melalui kerjasama dengan penyedia platform, agensi berkaitan dan masyarakat.

“Sebarang kandungan yang disyaki melanggar undang-undang akan diteliti dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Pada masa sama, agensi itu turut menyeru rakyat Malaysia agar menghayati titah Seri Paduka dengan menghormati perbezaan pandangan, menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta menjaga adab dan maruah orang lain dalam setiap interaksi dalam talian. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini