MCMC saman Google tuntut ganti rugi RM300 juta

MCMC saman Google tuntut ganti rugi RM300 juta

SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon perintah mahkamah supaya Google LLC memadamkan kandungan didakwa berunsur fitnah oleh penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo di YouTube dalam tempoh 24 jam.

Permohonan itu turut meliputi kandungan sama yang dimuat naik semula oleh pihak ketiga termasuk menerusi siaran langsung di platform berkenaan.

Ia antara perintah yang dipohon MCMC menerusi saman RM300 juta terhadap Google atas dakwaan kecuaian syarikat itu dalam menangani penyebaran kandungan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Oktober lalu menerusi Tetuan Sitham & Associates.

Berdasarkan dokumen pernyataan tuntutan yang diterima media hari ini, MCMC mendakwa Google gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat penyebaran kandungan tersebut meskipun notis dikeluarkan pada 19 Oktober lalu.

Notis itu dikeluarkan susulan aduan diterima MCMC pada 12 Ogos lalu berhubung penyebaran semula kandungan Papagomo di YouTube.

MCMC mendakwa kegagalan Google mematuhi notis berkenaan menyebabkan kandungan tersebut terus tersebar sehingga menjejaskan kredibiliti pemimpin negara serta menghakis keyakinan awam.

Suruhanjaya itu turut mendakwa kandungan berkenaan mengandungi maklumat palsu, mengelirukan dan tidak berasas mengenai tokoh awam, institusi kerajaan serta pihak berkuasa.

Sehubungan itu, MCMC memohon deklarasi bahawa Google selaku penyedia perkhidmatan berlesen mempunyai kewajipan mematuhi arahan suruhanjaya itu mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain memohon sekatan terhadap akaun YouTube berkenaan diteruskan, MCMC menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM100 juta.

Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini