PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak 12.7 peratus tahun ke tahun kepada RM456.8 juta bagi separuh pertama berakhir 30 September 2026 berbanding RM405.3 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong pendapatan faedah bersih (NII) yang lebih tinggi, pendapatan berasaskan yuran pelanggan yang kukuh serta kos kredit bersih yang lebih rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, keputusan separuh pertama itu mencerminkan momentum strategi Acceler8 serta fokus berdisiplin terhadap kualiti berbanding jumlah.
“Dengan menyusun semula secara strategik ke arah pinjaman bercagar dan perniagaan sambil mempercepatkan enjin pengurusan kekayaan serta pendapatan berasaskan yuran, kami mencapai peningkatan keuntungan bersih 12.7 peratus, ROE disetahunkan 10.5 peratus pada paras tertinggi panduan serta penguasaan pasaran lebih kukuh dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Jumlah hasil meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.28 bilion, dipacu kenaikan NII sebanyak 5.1 peratus kepada RM1.04 bilion dan pendapatan berasaskan yuran pelanggan yang melonjak 17.0 peratus kepada RM237.3 juta, diterajui yuran pengurusan kekayaan (+38.5 peratus) serta perkhidmatan perbankan (+26.5 peratus).
Bagi suku kedua berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih selepas cukai naik 0.9 peratus tahun ke tahun kepada RM208.5 juta, manakala hasil meningkat 3.6 peratus kepada RM648.5 juta disokong pengembangan NII sebanyak 7.6 peratus kepada RM532.9 juta.
Pulangan atas ekuiti (ROE) disetahunkan bank itu mencapai 10.5 peratus, manakala margin faedah bersih (NIM) berada pada 2.22 peratus seiring peralihan terancang ke arah pinjaman bercagar dan perniagaan berisiko lebih rendah di tengah-tengah persaingan deposit yang sengit.
Selaras komitmen memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham, lembaga pengarah mencadangkan dividen interim pertama sebanyak 11.88 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, meningkat 26.8 peratus tahun ke tahun berbanding 9.37 sen sesaham pada tempoh sama tahun lalu, mewakili nisbah pembayaran 45 peratus.
Dalam pada itu, pinjaman kasar berkembang 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM69.71 bilion, manakala termasuk bon tidak bertaraf ia meningkat 10.2 peratus kepada RM71.31 bilion dengan jumlah aset naik 13.0 peratus kepada RM97.70 bilion.
“Deposit pelanggan pula meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun kepada RM72.30 bilion dengan nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kekal kukuh pada 37.5 peratus, sementara nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bertambah baik kepada 1.86 peratus berbanding 1.91 peratus setahun lalu dan kos kredit bersih turun kepada 9.2 mata asas daripada 23.2 mata asas,” katanya.
Di bawah agenda kemampanan, bank itu menggerakkan pembiayaan bernilai RM528 juta di bawah Program Impak Kemampanan (SIP) pada separuh pertama 2027 atau naik 37 peratus tahun ke tahun, manakala perniagaan perbankan mampan baharu (NSB) mencecah RM17.1 bilion secara kumulatif, melepasi sasaran RM17 bilion bagi tahun kewangan 2028 lebih awal.
Kellee berkata, memasuki fasa akhir Acceler8 2027 dengan penampan modal dan kecairan yang kukuh, Alliance Bank terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam teknologi, data, keupayaan kecerdasan buatan (AI) serta warga kerja bagi menyokong pelanggan dan menjana nilai jangka panjang.-UTUSAN











