ISKANDAR PUTERI: Cadangan membangunkan sebuah lapangan terbang di Mersing bagi meningkatkan aksesibiliti daerah tersebut perlu kajian mendalam bagi mengelakkan ia menjadi projek gajah putih.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan itu pernah dikenal pasti dalam Rancangan Struktur Negeri Johor 2030 sebagai salah satu strategi meningkatkan aksesibiliti pelancongan termasuklah melibatkan pulau-pulau di kawasan berkenaan.
Katanya, terdapat sebanyak 47 pulau serta batuan di kawasan Mersing, termasuklah Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Sibu, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil yang mempunyai potensi pelancongan tinggi.
“Kita tidak menolak kepentingan cadangan pembangunan Lapangan Terbang Mersing. Malah pembangunan lapangan terbang ini pernah dikenal pasti dalam rancangan struktur negeri Johor 2030 sebagai salah satu strategi meningkatkan aksesibiliti pelancongan.
“Namun, kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh perlu dilaksana, ini termasuk unjuran perkiraan penumpang, lalu lintas komersial, jenis pesawat, kos pembangunan, kesan alam sekitar dan hubungannya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS),” katanya ketika berucap di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Youzaimi Yusof (BN-Tenggaroh) berhubung perancangan program sambutan Tahun Melawat Johor 2027 serta usaha meningkatkan aspek pelancongan di Mersing khususnya.
Tambah Onn Hafiz, setiap pelaburan yang dibuat perlu dipastikan dapat memberi manfaat dan pulangan kepada ekonomi negeri dan masyarakat setempat, sekali gus tidak menjadi projek gajah putih selepas ia dibangunkan.
“Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif bagi meningkatkan jaringan perhubungan darat termasuk cadangan pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Empat (LPT4) yang menghubungkan Ulu Tiram dan Mersing.
“RM25 juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada akhir tahun lalu bagi kerja awalan LPT4 termasuk kajian trafik, reka bentuk kejuruteraan dan cadangan jajaran melibatkan lebuhraya berjarak sepanjang 142 kilometer,” katanya.
Beliau turut memberitahu kerajaan negeri berhasrat menjadikan Mersing sebagai ‘Maldives of Johor’.
“Kita mahu pelancong yang datang bukan sekadar menaiki bot untuk ke ‘island hopping’, tetapi sebaliknya kita mahu mereka menginap dan berbelanja di sana.
“Bagi tujuan itu, kita sedang bangunkan ekosistem pelancongan melalui Special Tourism Investment Zone (STIZ). Melalui inisiatif ini, kita mahu melibatkan pelabur swasta dalam pembangunan projek-projek pelancongan di kawasan terlibat,” katanya. – UTUSAN











