IPOH: Pelaksanaan konsep masjid pintar menjadi antara usaha kerajaan negeri Perak dalam memastikan rumah ibadat umat Islam turut menjadi tempat pengembangan ilmu berasaskan digital.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya bersama jabatan serta agensi berkaitan bekerjasama untuk memastikan usaha itu dapat dijayakan, termasuk di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, komitmen itu juga akan direalisasikan menerusi penganjuran bengkel pendedahan digital serta proses naik taraf kemudahan internet.
“Sentiasa memperkasakan institusi masjid agar bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai hab penyatuan ummah, pengembangan ilmu serta literasi digital komuniti. Usaha ini selaras dengan Agenda Pendigitalan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) mengenai hala tuju pembangunan masjid dan surau semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Saarani berkata, aspek etika penggunaan teknologi juga diberi penekanan agar pembudayaan ilmu itu selari dengan Islam.
“Kerajaan negeri memandang serius aspek penggunaan teknologi secara beretika. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sendiri meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian perkhidmatan agama serta carian maklumat,” katanya.
Jelasnya, beberapa usaha telah dimulakan seperti inisiatif perpustakaan digital, penyediaan kelengkapan komputer serta akses kepada internet.
Sementara itu katanya, JAIPk turut memberikan penekanan kepada pelaksanaan program pendidikan dan pembangunan modal insan seperti kelas pengajian agama, bimbingan al-Quran, kepimpinan belia serta program kekeluargaan.
Tambahnya, bagi memastikan keperluan kemudahan dapat ditangani secara sistematik, jawatankuasa masjid dan surau boleh mengemukakan permohonan pembinaan, pembaikan dan naik taraf melalui Portal e-Masjid 2.0 Negeri Perak. – UTUSAN











