KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti kewajaran mengenakan syarat kepada WhatsApp supaya mengesahkan identiti serta nombor telefon yang digunakan bagi membendung kegiatan penipuan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, langkah itu antara usaha tambahan yang sedang dipertimbangkan susulan tindakan sindiket penipuan yang terus mengubah modus operandi mereka, termasuk menyalahgunakan aplikasi komunikasi berkenaan.
Katanya, isu penyalahgunaan WhatsApp bagi tujuan panggilan penipuan turut mendapat perhatian beberapa negara yang kini meneliti keperluan memperketat proses pengesahan identiti pengguna.
“MCMC sedang meneliti kewajaran untuk mengenakan satu syarat kepada WhatsApp yang mana mereka perlu mengesahkan nombor telefon yang dipaut kepada akaun aplikasi itu.
“Baru-baru ini di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), saya mendengar pandangan daripada banyak negara yang membangkitkan isu mengenai penyalahgunaan WhatsApp untuk tujuan panggilan penipuan. Jadi, banyak negara sedang teliti adalah membuat pengesahan identiti dan nombor telefon yang digunakan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Selain itu, Ahmad Fahmi memberitahu kerajaan sedang meneliti beberapa langkah tambahan di peringkat rangkaian telekomunikasi bagi mengekang kegiatan penipuan termasuk isu individu menyamar sebagai pegawai MCMC.
Menurutnya, MCMC sebelum ini berjaya melaksanakan perubahan teknikal bagi menyekat panggilan yang memalsukan identiti pemanggil atau spoofing calls, namun sindiket penipuan kini beralih kepada kaedah lain.
“Sebelum ini, pihak MCMC melaksanakan perubahan teknikal yang berjaya mengekang spoofing calls. Tetapi pihak scammer beralih kepada cara penipuan yang berbeza. Jadi, kita nampak perlu tindakan tambahan,” jelasnya.
Malah, beliau menegaskan MCMC tidak pernah membuat panggilan untuk memberi amaran mengenai penamatan talian telefon atau memaklumkan tunggakan bil yang merupakan tanggungjawab syarikat telekomunikasi.
“Untuk orang awam, MCMC tidak akan membuat panggilan bagi memberi apa-apa amaran untuk menutup talian telefon. MCMC tidak buat kerja itu. Itu adalah tugas syarikat telekomunikasi sendiri,” ujarnya. – UTUSAN











