BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Ali Al-Zaidi memecat sembilan pegawai kanan kerajaan susulan hasil siasatan berhubung dakwaan aktiviti penyeludupan minyak di kawasan Jurf Al-Sakher yang merupakan kubu kuat kumpulan bersenjata pro-Iran, Kataeb Hezbollah.
Langkah tegas itu diambil ketika Baghdad berdepan tekanan hebat daripada Amerika Syarikat (AS) untuk mengekang pengaruh Teheran serta mengawal pergerakan kumpulan bersenjata yang disokong Iran di negara berkenaan.
Ali yang mengambil alih tampuk kepimpinan dengan sokongan Washington sebelum ini melancarkan siasatan khusus di wilayah Babylon, selatan Baghdad bagi membongkar kegiatan penyeludupan di kawasan yang dikawal ketat oleh Kataeb Hezbollah.
Jurucakap tentera beliau, Sabah Al-Numan memaklumkan Perdana Menteri mengarahkan semua individu yang dituduh terbabit dalam operasi haram itu dirujuk terus ke badan kehakiman untuk tindakan undang-undang, namun tidak mendedahkan identiti suspek.
Antara sembilan pegawai yang dipecat ialah pegawai keselamatan dan risikan di wilayah Babylon, seorang komander Kementerian Dalam Negeri serta pengarah syarikat saluran paip minyak di bawah Kementerian Minyak Iraq.
Terdahulu, sebuah jawatankuasa penyiasat telah memasuki kawasan Jurf Al-Sakher pada Jumaat dengan diiringi anggota Kataeb Hezbollah bagi mengesahkan maklumat risikan serta imej satelit yang menunjukkan kegiatan menebuk saluran paip untuk mencuri minyak mentah.
Hasil pemeriksaan di lapangan kemudiannya mengesahkan kesahihan laporan agensi berita rasmi INA bahawa wujud operasi penyeludupan minyak mentah dan produk terbitannya yang didalangi oleh puak bersenjata di lokasi terbabit.
Ketegangan antara Ali dan Kataeb Hezbollah semakin memuncak sejak beliau berikrar untuk memastikan semua kumpulan bersenjata menyerahkan senjata mereka kepada pihak berkuasa negara.
Walaupun beberapa kumpulan kecil bersetuju melucutkan senjata, puak berpengaruh seperti Kataeb Hezbollah berkeras menolak arahan tersebut dan bertindak balas dengan mengeluarkan kenyataan keras menuduh kerajaan Ali mengamalkan rasuah.
Washington sebelum ini berulang kali menuduh kumpulan bersenjata Iraq terbabit dalam penyeludupan bahan api serta mengenakan sekatan ke atas beberapa entiti tempatan yang mencampurkan minyak Iraq dan Iran bagi membantu Teheran mengelak sekatan antarabangsa.
Situasi keselamatan di Iraq terus berada dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan kumpulan bersenjata pro-Iran itu sering menyasarkan kepentingan AS di negara terbabit terutamanya sepanjang konflik Asia Barat yang berlarutan. -AGENSI











