PETALING JAYA: Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset terus memperkukuh pasaran di Borneo menerusi pembukaan cawangan terbaharu di pusat beli-belah Imago, Kota Kinabalu, Sabah.
Pembukaan cawangan ke-26 itu sekali gus menandakan peluasan operasi jenama berkenaan ke Kota Kinabalu, selain menawarkan pengalaman membeli-belah secara fizikal kepada pelanggan di Sabah.
Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul berkata, Negeri Di Bawah Bayu sememangnya antara pasaran yang mencatatkan sambutan memberangsangkan khususnya menerusi jualan di platform dalam talian.
Ujarnya, pembukaan butik di Imago memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat sendiri kualiti fabrik, mencuba koleksi pakaian serta mengenali identiti jenama itu dengan lebih dekat.
“Sabah sudah lama menjadi pasaran yang kukuh buat kami dan sangat aktif memberikan sokongan secara dalam talian.
“Pembukaan di Imago juga membolehkan kami mendekati pelanggan untuk melalui pengalaman membeli-belah yang lebih peribadi.
“Kami teruja dapat membina hubungan lebih erat dengan komuniti setempat,” katanya selepas majlis pelancaran butik di Imago, semalam.
Bayu Somerset menggabungkan elemen warisan tradisional Malaysia dengan sentuhan kontemporari menerusi rekaan bercorak ceria, warna menarik dan potongan moden.
Dania berkata, pendekatan tersebut bukan sekadar memberikan nafas baharu kepada busana tradisional, malah menjadi wadah untuk wanita menampilkan identiti serta mengekspresikan keyakinan diri menerusi fesyen.
“Fesyen adalah cara untuk wanita mengekspresikan diri sambil meraikan budaya yang membentuk identiti mereka.
“Bersama pasukan Bayu Somerset, kami menggabungkan elemen warisan dan gaya kontemporari dalam rekaan yang unik, serba boleh serta mudah digayakan,” ujarnya.
Majlis pembukaan butik berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional Kumpulan Budayawan selain penampilan istimewa penyanyi, Wani Kayrie.
Sempena pembukaan rasmi itu, pelanggan turut berpeluang menikmati promosi Beli 1 Percuma 1 bagi barangan terpilih.
Bayu Somerset yang ditubuhkan pada 2021 kini mengendalikan hampir 30 outlet di seluruh negara dan menyasarkan peluasan rangkaiannya kepada 32 cawangan menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN








