Harga berpatutan jadi tarikan pasaran pakaian harian

Harga berpatutan jadi tarikan pasaran pakaian harian

DANIA Kamalul Ariffin (tengah) semasa majlis pembukaan cawangan ke-25 Bayu Somerset di 118 Mall, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keperluan terhadap pakaian harian menjadi antara asas strategi perniagaan Bayu Somerset dalam mengekalkan daya tarikan produknya, dengan penekanan terhadap harga berpatutan dan reka bentuk yang memenuhi cita rasa pengguna.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Ariffin berkata, pihaknya masih melihat kuasa beli dalam kalangan kumpulan pelanggan sasaran, khususnya terhadap produk yang menawarkan keseimbangan antara harga dan keperluan pemakaian.

Katanya, pakaian harian mempunyai permintaan tersendiri kerana merupakan antara keperluan pengguna, sekali gus memberi ruang kepada perniagaan untuk terus bersaing melalui penawaran produk pada harga mampu milik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara perkara yang membantu perniagaan kami ialah harga yang berpatutan dan mampu milik, selain produk yang ditawarkan merupakan pakaian yang diperlukan untuk kegunaan harian.

“Jadi, kami masih melihat kuasa beli dalam kalangan kumpulan pelanggan sasaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan ke-25 Bayu Somerset di 118 Mall, semalam. 

Menurutnya, pemahaman terhadap kumpulan pelanggan sasaran penting dalam menentukan pendekatan perniagaan, termasuk pemilihan lokasi cawangan dan penawaran produk mengikut keperluan pasaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembukaan outlet terbaharu di Merdeka 118 turut membolehkan syarikat mendekati kelompok pengguna berbeza, khususnya golongan urban dan pasaran antarabangsa.

“Dalam usaha mempelbagaikan penawaran produk, Bayu Somerset turut memberi perhatian kepada penggunaan elemen warisan dan budaya tempatan dalam reka bentuk koleksi fesyen.

“Pendekatan itu dapat dilihat menerusi penggunaan inspirasi tradisional dalam konsep cawangan terbaharunya, termasuk elemen rumah kampung, motif songket dan perincian seni tempatan,” katanya

Tambahnya, syarikat juga meneroka kerjasama dengan penggiat seni tempatan bagi menghasilkan koleksi yang menggabungkan unsur budaya dengan rekaan fesyen semasa.

“Bayu Somerset turut memperkenalkan rekaan berinspirasikan cheongsam sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan terbuka untuk meneroka reka bentuk daripada budaya lain termasuk sari.

“Pendekatan pemasaran syarikat juga tidak bergantung kepada seorang selebriti atau pempengaruh sebagai wajah utama jenama, sebaliknya mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai penggiat seni dan pempengaruh mengikut kesesuaian kempen,” tambahnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Bayu Somerset kini mempunyai 25 cawangan dan merancang memperluas rangkaian perniagaannya ke beberapa lokasi lain termasuk Sabah.

Syarikat menyasarkan untuk meningkatkan jumlah cawangan kepada 32 menjelang penghujung tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini