PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) memperluas kemudahan pembayaran DuitNow QR rentas sempadan kepada lima destinasi baharu menerusi aplikasi CIMB OCTO (OCTO), melibatkan China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos.
Perluasan itu menjadikan jumlah destinasi yang menerima pembayaran berkenaan sebanyak sembilan negara dan wilayah, termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, peluasan liputan pembayaran itu selaras dengan strategi Forward30 kumpulan perbankan berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan perbankan harian yang lebih mudah, baik dan pantas, termasuk bagi transaksi rentas sempadan.
“Langkah itu turut memberikan lebih fleksibiliti kepada pelanggan ketika melancong ke luar negara kerana mereka boleh menggunakan aplikasi perbankan sedia ada untuk membuat pembayaran.
“Perluasan keupayaan pembayaran DuitNow QR OCTO ke lebih banyak destinasi luar negara merupakan satu lagi langkah ke arah mencapai matlamat itu, sekali gus memberikan kemudahan dan fleksibiliti lebih besar kepada pelanggan ketika melancong.
“Bersama kemudahan CIMB TravelCurrency dan insurans perjalanan dalam OCTO, usaha ini memperkukuh penawaran perkhidmatan perjalanan kami bagi memenuhi keperluan pelanggan sepanjang perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, menerusi kemudahan itu, pelanggan CIMB boleh membuat pembayaran di premis peniaga Alipay+ yang mengambil bahagian dengan mengimbas kod QR yang memaparkan logo Alipay+ melalui aplikasi OCTO.
“Pelanggan juga boleh menyemak dan mengesahkan transaksi secara terus dalam aplikasi berkenaan tanpa perlu memuat turun aplikasi pembayaran lain atau membuka akaun Alipay+ secara berasingan.
“Kemudahan itu disediakan menerusi sambungan pembayaran DuitNow QR keluar negara oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) melalui Alipay+,” katanya.
Sementara itu, kerjasama PayNet dengan Ant International menerusi Alipay+ menghubungkan lebih dua bilion akaun pengguna merentasi lebih 50 rakan pembayaran antarabangsa, dengan penerimaan di lebih 150 juta premis peniaga di lebih 220 pasaran.
Kerjasama itu turut melengkapi kemudahan pembayaran masuk sedia ada yang membolehkan pengguna dompet digital rakan Alipay+ membuat pembayaran di premis peniaga DuitNow QR di Malaysia.
Kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menerusi perbelanjaan pelawat serta pelancong antarabangsa yang menggunakan pembayaran DuitNow QR.
Setakat September 2026, transaksi DuitNow QR rentas sempadan menerusi OCTO melebihi 500,000 transaksi, meningkat lebih 150 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
CIMB akan terus memperkukuh keupayaan OCTO serta memperluas akses pembayaran Alipay+ ke lebih banyak pasaran secara berperingkat bagi menyediakan pengalaman perbankan rentas sempadan yang lebih lancar kepada pelanggan. – UTUSAN











