Cubaan dua wanita asing seludup 200 liter petrol ke Thailand, tumpas

Cubaan dua wanita asing seludup 200 liter petrol ke Thailand, tumpas

SALAH seorang wanita warga asing yang ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup petrol ke negara jiran di Durian Burung, Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua wanita warga asing gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan bersama 200 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand, petang semalam. Mereka memandu dua buah Proton Wira berpendaftaran tempatan sebelum ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Padang Terap.

Kenderaan dipandu suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu dilihat mencurigakan ketika melalui sekatan berhadapan Balai Polis Kota Putra, Durian Burung. 

Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah petrol disimpan dalam kenderaan mereka, dipercayai untuk tujuan penyeludupan merentasi sempadan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Azlina Aziz berkata, kedua-dua kenderaan itu ditahan Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 2 petang.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua individu itu memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan. 

“KPDN Kedah menyita minyak petrol dianggarkan sebanyak 200 liter dengan nilai RM774, dua buah kenderaan berserta tangki tambahan untuk tindakan lanjut. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,574,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azlina berkata, pihaknya menyedari perubahan modus operandi penyelewengan bahan api di kawasan Padang Terap iaitu dengan menggunakan kenderaan berpendaftaran tempatan yang mempunyai tangki tambahan.

Kenderaan itu pula dipandu oleh warganegara asing untuk mendapatkan bekalan bahan api terutamanya minyak petrol di negara ini.

“KPDN memberi amaran dan mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan akan diambil tindakan tegas dan kami juga mengalu-alukan maklumat atau aduan awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi ini.

“Kami akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi selaras dengan gerakan yang diumumkan oleh kerajaan melalui inisiatif ‘Kita Gempur’ selain memperkukuh kerjasama dengan agensi lain,” katanya.

Menurut Azlina, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan kali pertama dan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berulang. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN