PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, susulan terdapat aduan berhubung dakwaan pengambil alihan aktiviti perniagaan tempatan oleh warga asing.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri membangkitkan perkara tersebut secara khusus dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.
“Perdana Menteri telah membangkitkan isu khusus berkait aduan mengenai dakwaan pengambil alihan aktiviti perniagaan tempatan oleh warga asing.
“Perdana Menteri (juga) telah mengarahkan agar tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati telah melanggar peruntukan undang-undang serta menyalahgunakan lesen, visa atau kemudahan-kemudahan perniagaan yang diperuntukkan termasuk untuk warganegara Malaysia,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai petisyen dalam talian yang berkait dengan desakan pengusiran pelarian warga Rohingya, Fahmi menegaskan bahawa Anwar tidak merujuk kepada mana-mana kumpulan secara khusus, sebaliknya menekankan tindakan akan diambil berlandaskan lunas undang-undang.
“Perdana Menteri tidak menyebut mana-mana kumpulan tertentu, tetapi merujuk kepada aduan mengenai fenomena (peniaga warga asing) tersebut.
“Kita serah kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan yang berlandaskan undang-undang dan kita beri peringatan supaya semua peniaga sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang terutama yang memiliki lesen untuk berniaga atau pun lesen untuk melaksanakan aktiviti perniagaan,” ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan, petisyen untuk menghantar pulang atau ke negara ketiga pelarian etnik Rohingya di Malaysia kini mencecah lebih 130,000 tandatangan.
Semakan di laman web Change.org mendapati petisyen bertajuk ‘Remove Rohingya from Malaysia’ merekodkan 132,059 setakat pukul 11 pagi.
Petisyen yang dilancarkan 29 Mei lalu menuntut kerajaan untuk merangka pelan yang komprehensif bagi menangani isu kebanjiran pelarian etnik itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. – UTUSAN









