Hatrik Nur Azfar bantu Star City benam KRW

Hatrik Nur Azfar bantu Star City benam KRW

MUSA Philip Dandada (kiri) cuba mendapatkan bola dari pada pertahanan Star City FC semasa aksi Liga Super Malaysia 2026/2027 di Stadium Sultan Muhammad Ke IV Kota Bharu, Kelantan sebentar tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hatrik Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menjadi pemusnah buat Kelantan Red Warrior FC (KRW) apabila Star City FC membenam pasukan itu 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Penyerang Star City itu meledakkan tiga gol untuk membantu skuad kendalian Mehmed Durakovic menguasai perlawanan, sekali gus memastikan pasukan pelawat pulang dengan kemenangan bergaya.

Pelawat mempamerkan aksi agresif sejak awal permainan apabila Douglas Oliveira menguji penjaga gol KRW, Amin Faisal Mohd. Saidi, menerusi percubaan seawal minit kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amin Faisal berjaya menafikan beberapa percubaan Oliveira, namun benteng tuan rumah akhirnya bocor pada minit ke-13 apabila Muhammad Nur Azfar menanduk masuk gol pembukaan pasukan pelawat.

KRW yang dibimbing Ifran Bakti Abu Salim cuba bangkit selepas memburu gol penyamaan namun dihampakan oleh kekebalan benteng lawan menyaksikan Star City terus mengawal rentak permainan.

Pedro Santos kemudian, melebarkan jurang menerusi jaringan kedua pada minit ke-45 sebelum Muhammad Nur Azfar menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga pada masa tambahan babak pertama sekali gus memberikan kelebihan kepada Star City.

Bersambung babak kedua, KRW cuba menghidupkan peluang apabila Muhammad Mohd. Faudzi menanduk masuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-52.

Bagaimanapun, Muhammad Nur Azfar memadamkan harapan kebangkitan KRW apabila melengkapkan hatriknya pada minit ke-60 untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Ketua pasukan KRW, Arham Khussyairi Ab. Wahab, merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-69, namun Star City terus menguasai kelebihan.

Ramon Machado kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak kedua untuk mengesahkan kemenangan 5-2 Star City dalam aksi yang menyaksikan KRW gagal mengekang ketajaman jentera serangan pelawat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini