Bukan Selangor sahaja ‘terseksa’ - MFL

Bukan Selangor sahaja ‘terseksa’ – MFL

MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan Selangor FC (SFC) sahaja berdepan jadual padat, malah 11 kelab lain turut melalui tempoh rehat minimum dua hari sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2026/27, tegas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjawab kebimbangan Kim Pan Gon.

Penganjur Liga M itu menegaskan, penyediaan jadual musim ini bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira tempoh rehat dan perjalanan minimum dua hari bagi pasukan, di samping komitmen dalam pertandingan domestik dan antarabangsa serta kekangan penggunaan venue.

“MFL ingin menjelaskan bahawa penyediaan jadual Liga M 2026-2027 telah mengambil kira keperluan tempoh rehat dan perjalanan minimum dua hari bagi pasukan. Selain itu, komitmen kelab dalam pertandingan domestik dan antarabangsa serta kekangan venue turut diambil kira,” kata MFL dalam kenyataan.

Malah, perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan wakil kelab Liga M menerusi sesi ‘Kick-Off Meeting’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, 14 Ogos lalu, selain pekeliling jadual yang dikeluarkan pada 21 Julai.

MFL menjelaskan, skuad kendalian Pan Gon mempunyai tempoh dua hari antara aksi Liga Super menentang Melaka FC pada 30 Ogos, jam 8.15 malam dengan perlawanan Piala FA menentang Sabah FC pada 2 September, jam 9 malam.

“Namun tempoh rehat dan perjalanan minimum dua hari bagi pasukan turut melibatkan 11 kelab lain yang bertanding musim ini. Terdapat keadaan dalam jadual musim ini yang memberikan pasukan tempoh rehat lebih panjang, iaitu melebihi dua hari, seperti yang turut dilaksanakan pada musim-musim sebelum ini.

“MFL pada masa sama memahami kebimbangan jurulatih mengenai kecergasan pemain dan kualiti permainan serta sentiasa mengambil kira aspek kebajikan pemain dalam penyediaan kalendar pertandingan,” jelas MFL.

Menurut MFL, penyusunan kalendar musim ini turut berdepan pelbagai kekangan apabila perlu mengambil kira Kalendar FIFA 2026-2027, Piala ASEAN 2026, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), selain keperluan logistik serta operasi Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Beberapa pindaan turut dibuat berikutan pengesahan undian dan jadual FIFA 2026-2027, Piala ASEAN 2026, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) serta Piala FA.

“Selain itu, faktor jerebu yang melanda negara dan Brunei baru-baru ini serta kekangan penggunaan venue bagi beberapa pasukan akibat penganjuran acara kerajaan serta komitmen lain,” ujar MFL.

Tidak cukup dengan itu, kerja-kerja naik taraf beberapa venue turut memberi kesan kepada penyusunan jadual, antaranya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Stadium Negeri Kuching, Stadium Bandaraya Pulau Pinang dan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

MFL turut mengambil kira Hari Pelepasan Am Persekutuan dan Negeri bagi 2026-2027 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri dalam menyusun keseluruhan kalendar pertandingan.

Sebelum ini, Pan Gon meluahkan kebimbangan terhadap jadual Liga M yang disifatkan terlalu padat sehingga memberi tekanan tidak wajar kepada pemain, terutama apabila mereka hanya mempunyai tempoh sekitar 48 jam untuk kembali beraksi.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan tahap kecergasan pemain, malah berpotensi menurunkan kualiti permainan dan meningkatkan risiko kecederaan, sekali gus tidak adil jika pemain dipersalahkan apabila gagal mempamerkan prestasi terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×