PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan penstriman video bagi memperkukuh pengurusan kandungan secara bertanggungjawab serta memastikan sensitiviti agama, kaum dan budaya dihormati.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, sesi dengan kerjasama Forum Kandungan (Content Forum) itu melibatkan penyedia perkhidmatan penstriman video termasuk platform over-the-top (OTT) dan video-on-demand (VOD).
Katanya, sesi itu selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bahawa kebebasan berkarya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menghormati nilai agama, keharmonian kaum dan sensitiviti budaya yang menjadi asas perpaduan negara.
MCMC turut menekankan kepentingan langkah perlindungan berkesan bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan tidak sesuai.
“Langkah ini merangkumi semakan kandungan dalaman, pengelasan umur yang bersesuaian, kawalan ibu bapa dan mekanisme pengendalian aduan yang mudah diakses,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sesi berkenaan turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan perbincangan merangkumi pematuhan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Dalam pada itu, perbincangan turut mengambil kira perbezaan kerangka kawal selia antara perkhidmatan OTT dan VOD dengan penyiaran konvensional.
Antara pihak industri yang menyertai sesi itu ialah Netflix, Apple TV, Motion Picture Association (MPA), Asia Video Industry Association (AVIA), Astro, iQIYI, Media Prima Berhad menerusi Tonton, MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Viu.
Katanya, MCMC menegaskan penyedia perkhidmatan perlu mengurus kandungan secara bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang Malaysia.
“MCMC dan Forum Kandungan akan terus bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh kawal selia kendiri, perlindungan pengguna dan akauntabiliti bersama,” katanya.
Bagaimanapun, tindakan kawal selia sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang. –UTUSAN










