MCMC teliti dua model pelesenan platform e-dagang

MCMC teliti dua model pelesenan platform e-dagang

FAHMI Fadzil bercakap pada sidang akhbar Bengkel Antara Agensi Mengenai Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian di M Resort & Hotel di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan dua model pelesenan bagi platform e-dagang untuk memperkukuh kawalan terhadap kemudaratan dalam talian serta melindungi kepentingan pengguna.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu membabitkan pembahagian bidang kawal selia antara MCMC dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“MCMC akan memberi tumpuan kepada aspek kemudaratan dalam talian, manakala KPDN bertanggungjawab terhadap perkara berkaitan kepenggunaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah itu merupakan antara pendekatan yang sedang diteliti kerajaan bagi memastikan operasi platform e-dagang mematuhi keperluan perundangan negara.

“KPDN akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang dijangka disiapkan menjelang pertengahan 2027,” katanya dalam sidang akhbar selepas Bengkel Antara Agensi Mengenai Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian di sini hari ini.

Beliau berkata, bengkel julung kali diadakan itu turut mencapai persetujuan mengenai penyediaan garis panduan untuk mengenal pasti produk yang dilarang dijual berdasarkan undang-undang sedia ada.

Katanya, bengkel yang berlangsung dari 27 hingga 29 November itu menghimpunkan wakil daripada 16 kementerian, agensi penguatkuasaan dan badan kawal selia serta 13 platform e-dagang.

Selain itu, menurutnya, bengkel berkenaan mengenal pasti tiga hasil utama iaitu penyediaan Daftar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian, Garis Panduan Pengalihan Keluar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian serta Garis Panduan Permintaan, Pemeliharaan dan Pendedahan Maklumat bagi Tujuan Siasatan.

“Antara produk yang diberi perhatian termasuk dadah berbahaya, bahan penderaan seksual kanak-kanak serta barangan terlarang seperti senjata api.

“Selain itu, penyelarasan turut dilakukan berhubung keperluan maklumat yang perlu disediakan platform e-dagang kepada agensi penguatkuasaan bagi membantu siasatan dan tindakan mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyelarasan itu membolehkan semua platform memahami keperluan pihak polis, khususnya berkaitan maklumat yang diperlukan untuk membolehkan sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

Katanya, MCMC turut membantu memastikan kandungan atau produk yang mendatangkan kemudaratan diturunkan dalam tempoh ditetapkan.

“Sebagai contoh, penjualan vape yang mengandungi dadah dan dipasarkan menggunakan nama tertentu termasuk ‘piu-piu’ turut diberi perhatian dalam perbincangan berkenaan.

“Platform e-dagang juga perlu memberikan kerjasama bagi memastikan kandungan tertentu diturunkan dalam tempoh satu jam, manakala barangan ekstrem seperti dadah dalam tempoh maksimum 24 jam.

“Tindakan berkaitan produk berkenaan turut membabitkan agensi lain mengikut bidang kuasa masing-masing termasuk Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Tambah Fahmi, bagi memastikan pelaksanaan hasil bengkel berjalan lancar, satu Pasukan Petugas Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian akan ditubuhkan dengan melibatkan agensi penguatkuasaan, badan kawal selia serta pihak berkepentingan.

Katanya, pasukan itu akan menyelaraskan tindakan susulan, memantau pelaksanaan serta menangani cabaran operasi berkaitan pengurusan barangan dan perkhidmatan terlarang dalam talian.

“Syarikat seperti Alibaba, Pinduoduo dan Temu turut menghadiri bengkel berkenaan serta menunjukkan kerjasama yang baik.

“Saya turut menggalakkan platform e-dagang menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi membolehkan pemain industri berbincang dan menetapkan piawaian keselamatan ekosistem digital secara bersama,” katanya.

Katanya, kerjasama antara kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pemain industri penting bagi memastikan platform e-dagang bukan sahaja menjadi medium urus niaga, malah kekal selamat untuk pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini