GPS jangan rasa selesa - Fadillah

GPS jangan rasa selesa – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak seharusnya menyebabkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berasa selesa, sebaliknya jentera parti perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan di semua 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemenangan itu bukan satu keistimewaan untuk diraikan, sebaliknya amanah besar yang perlu dilaksana dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata, calon GPS yang memperoleh kemenangan tanpa bertanding tidak seharusnya menganggap mandat berkenaan sebagai tiket untuk menjadi popular.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mandat perlu diterjemahkan menerusi usaha memenuhi harapan dan keperluan rakyat, selain memastikan segala janji pembangunan serta kemakmuran Sarawak ditunaikan.

“Kemenangan ini bukan kelebihan, bukannya untuk kita menjadi seorang yang popular. Tetapi lebih kepada kita menanggung amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dan perlu ditunaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya pada Program Pelancaran Jentera Bidayuh di Kampung Sinjok, Siburan, Sarawak hari ini.

Fadillah yang juga Ketua Whip GPS berkata, jentera parti tidak boleh leka atau terlalu yakin dengan kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi berkenaan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, meskipun GPS mahu mempertahankan sekurang-kurangnya 76 kerusi iaitu rekod kemenangan pada PRN 2021, gabungan itu tetap menyasarkan kemenangan di kesemua 82 kerusi.

Katanya, kemenangan besar itu penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan serta agenda pembangunan Sarawak termasuk pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Ujarnya, kawasan yang sudah memperoleh kemenangan tanpa bertanding digalakkan menggerakkan jentera bagi membantu calon GPS yang berdepan persaingan.

Fadillah berkata, kemenangan GPS pada PRN kali ini penting bagi memperkukuh kedudukan dalam menentukan hala tuju kepemimpinan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, meskipun GPS hanya mempunyai 23 kerusi Parlimen ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan, gabungan itu memainkan peranan penting dalam menentukan kepemimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Walaupun jumlah kita 23 (kerusi Parlimen), siapa menentukan siapa yang akan memimpin Kerajaan Perpaduan? GPS.

“Sebab itu saya katakan penting untuk kawasan Bidayuh, walaupun hanya lapan kerusi, suara kita penting dan mempunyai pengaruh dalam DUN untuk pembentukan dasar dan strategi kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini