KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi Sistem Penentududukan Global (GPS) secara masa nyata berpotensi mempercepatkan penyaluran bantuan perubatan kepada peserta yang berdepan kecemasan ketika menyertai acara larian.
Teknologi itu membolehkan pusat kawalan mengenal pasti kedudukan petugas pertolongan cemas yang paling hampir dengan lokasi kejadian, sekali gus membantu penyelarasan bantuan tanpa mengambil masa yang lama untuk mengesan kedudukan petugas.
Syarikat teknologi sukan tempatan, CheckPointSpot® menggunakan sistem Medic Command Centre pada Founders Run 2026 yang berlangsung di MAHSA Avenue, Kuala Lumpur, pada 22 November lalu.
Seramai 13 petugas pertolongan cemas daripada ResQ Team dan 15 penentu rentak larian (pacer) dilengkapi peranti GPS bagi membolehkan pergerakan mereka dipantau sepanjang acara larian sejauh lima kilometer itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CheckPointSpot®, Benjamin Yeow berkata, antara cabaran dalam pengurusan kecemasan ketika acara larian adalah mengenal pasti lokasi petugas pertolongan cemas yang sentiasa bergerak bersama peserta.
“Semasa perlumbaan berlangsung, petugas pertolongan cemas sentiasa bergerak bersama peserta. Apabila berlaku kecemasan, pasukan pusat kawalan perlu mengetahui lokasi petugas yang paling hampir supaya bantuan dapat diselaraskan dengan segera.
“Medic Command Centre dibangunkan untuk menyediakan maklumat ini secara masa nyata,” katanya.
Dibangunkan oleh pasukan teknologi CheckPointSpot®, sistem berkenaan membolehkan pusat kawalan memantau kedudukan kesemua petugas pertolongan cemas menerusi satu paparan skrin.
Sekiranya berlaku kecemasan, pasukan pusat kawalan boleh menyemak kedudukan semasa petugas sebelum mengenal pasti individu yang paling hampir untuk memberikan bantuan kepada peserta.
Selain fungsi penjejakan lokasi, peranti GPS itu turut dilengkapi butang SOS yang membolehkan petugas pertolongan cemas meminta bantuan tambahan ketika berdepan situasi kecemasan.
Apabila butang tersebut ditekan, sistem akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi maklumat lokasi petugas berkenaan kepada pusat kawalan.
Fungsi itu amat berguna sekiranya petugas sedang memberikan pertolongan cemas kepada peserta dan memerlukan bantuan lanjut daripada pasukan sokongan perubatan.
Ia juga membolehkan pusat kawalan mengenal pasti lokasi petugas yang memerlukan bantuan tanpa bergantung sepenuhnya kepada komunikasi lisan.

“Akses kepada maklumat lokasi secara masa nyata membantu pasukan pusat kawalan membuat keputusan yang lebih tepat ketika menyelaraskan bantuan perubatan.
“Fungsi SOS juga memberi petugas pertolongan cemas satu lagi cara untuk meminta bantuan, khususnya ketika mereka sedang membantu peserta yang memerlukan pertolongan,” jelas Benjamin.
Dalam pada itu, penggunaan peranti GPS dalam kalangan pacer turut membantu pusat kawalan memantau pergerakan kumpulan peserta di sepanjang laluan larian.
Sekiranya berlaku kecemasan berhampiran kumpulan peserta terbabit, kedudukan pacer boleh dijadikan rujukan tambahan bagi membantu pusat kawalan menyelaraskan bantuan dengan petugas pertolongan cemas di lapangan.
Benjamin berkata, pemantauan kedudukan petugas pertolongan cemas dan pacer secara serentak membolehkan pusat kawalan memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan di sepanjang laluan perlumbaan.
“Matlamat kami adalah untuk memberikan pusat kawalan gambaran menyeluruh tentang operasi perlumbaan secara masa nyata, dari permulaan hingga tamat acara.
“Dengan menjejaki pergerakan petugas pertolongan cemas dan pacer di sepanjang laluan, pasukan dapat memantau perkembangan perlumbaan, menyelaraskan sokongan di sepanjang laluan dan menggerakkan bantuan apabila diperlukan.
“Maklumat ini membantu pasukan membuat keputusan berdasarkan situasi semasa perlumbaan,” tambahnya.
Benjamin turut berada di pusat kawalan bersama anggota ResQ Team sepanjang acara tersebut bagi membantu pelaksanaan sistem dan penyelarasan antara pasukan teknologi dengan petugas di lapangan.
Founders Run 2026 menghimpunkan usahawan, pemimpin perniagaan, pempengaruh media sosial, selebriti dan tetamu kenamaan menerusi aktiviti yang menggabungkan kecergasan, jaringan perniagaan serta penglibatan komuniti.
Meskipun teknologi GPS tidak menggantikan peranan petugas pertolongan cemas terlatih dan prosedur kecemasan sedia ada, penggunaannya dapat membantu penganjur memperkukuh penyelarasan bantuan perubatan serta aspek keselamatan peserta sepanjang acara larian.
Kerjasama antara CheckPointSpot® dan ResQ Team itu turut memperlihatkan potensi penggunaan teknologi sukan yang bukan sahaja tertumpu kepada sistem pemasaan dan pengurusan perlumbaan, malah membantu menjaga keselamatan serta kebajikan peserta. – UTUSAN











