PETALING JAYA: Lebih 30,000 peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 kini berdebar menanti keputusan penganjur pada pukul 4 petang ini sama ada acara larian berkenaan diteruskan atau dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda ibu negara.
Penganjur, Dirigo Events Sdn. Bhd. sebelum ini memaklumkan keputusan akhir mengenai penganjuran KLSCM 2026 akan diumumkan hari ini selepas mengambil kira keadaan kualiti udara, cuaca serta ramalan terkini.
KLSCM dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula esok dengan acara 1KM, 2KM, 5KM dan 10KM, manakala kategori separuh maraton 21 kilometer (KM) dan maraton penuh 42.195 KM dijadualkan Ahad ini.
Bagi acara utama Ahad, peserta maraton penuh dijadualkan dilepaskan pada pukul 3.30 pagi, manakala kategori separuh maraton bermula pada 4.45 pagi, dengan Dataran Merdeka sebagai lokasi mula dan tamat.
Keadaan jerebu ketika ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan peserta, khususnya kerana sebahagian laluan perlumbaan melibatkan kawasan terbuka dan lebuh raya seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya MRR2 dan DUKE.
Sementara menunggu keputusan penganjur, peserta masih diminta mengambil pek perlumbaan mengikut jadual yang ditetapkan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Sekiranya acara diteruskan, beberapa jalan utama di ibu negara akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada peserta.
Menurut Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC), laluan bagi acara 21KM dan 42KM pada Ahad melibatkan penutupan antara pukul 3 pagi hingga 11 pagi.
Keputusan jam 4 petang ini dijangka menjadi penentu kepada lebih 30,000 peserta yang sudah membuat persiapan untuk berlari hujung minggu ini. – UTUSAN











