PUTRAJAYA: Tiada mangsa banjir yang tercicir daripada menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI), malah jumlah bantuan yang disalurkan kerajaan sebelum ini melebihi keperluan sebenar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai mekanisme bagi memastikan mangsa banjir yang tidak berdaftar juga berpeluang menerima bantuan berkenaan.
Menurutnya, jumlah peruntukan BWI bergantung kepada keperluan sebenar berdasarkan jumlah mangsa yang terjejas.
Katanya, mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atas alasan tertentu, termasuk tinggal di rumah anak atau adik-beradik, masih boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan.
Bagaimanapun, mereka perlu membuat laporan polis dan mendapatkan pengesahan bahawa mereka benar-benar mangsa banjir.
“Jadi, jangan ambil kesempatan dalam kesempitanlah. Saya yakin ini telah dilakukan dengan sebaik-baiknya oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya ketika menjawab soalan media mengenai jaminan kerajaan supaya tiada mangsa banjir tercicir daripada menerima BWI, termasuk mereka yang tidak berdaftar.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 dan Mesyuarat Persidangan Pihak-Pihak (COP) Ke-15 kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) serta mesyuarat berkaitan yang dihoskan Indonesia.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Indonesia, tiba di Jakarta pada Selasa selepas mengadakan beberapa pertemuan berkaitan kerjasama pembangunan luar bandar di Bali sejak Isnin. – UTUSAN











