KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 penduduk khususnya golongan belia di Parlimen Titiwangsa menerima lesen motosikal percuma menerusi Program Bantuan Lesen B2 yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, daripada jumlah itu, seramai 800 peserta berjaya memperoleh lesen memandu manakala baki 200 peserta masih dalam proses mengikuti kursus dan latihan yang disediakan menerusi empat siri program berkenaan.
Beliau berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memudahkan penduduk mendapatkan latihan dan kursus tanpa perlu berulang-alik ke pusat memandu.
Katanya, inisiatif berkenaan tercetus selepas beliau mendapati ramai anak muda tidak memiliki lesen, walaupun sudah biasa menunggang motosikal antaranya disebabkan kos pengambilan lesen yang tinggi serta tempoh menunggu yang panjang di sekolah memandu.
“Apabila saya bertemu dengan belia-belia di kawasan Parlimen Titiwangsa, saya bertanya kenapa mereka tidak mengambil lesen. Ada dua sebab, pertama mengambil masa yang lama kerana perlu menunggu giliran di sekolah memandu dan kedua, kos yang perlu dibayar agak tinggi.
“Jadi, saya fikir program ini bertujuan membantu mereka mendapatkan lesen dengan lebih cepat dan pada kos yang lebih rendah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Lesen B2 Parlimen Titiwangsa di sini hari ini.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, peserta hanya perlu membayar RM100 sebagai deposit komitmen manakala baki kos kira-kira RM350 ditanggung.
Katanya, bayaran RM100 itu akan dipulangkan semula kepada peserta selepas mereka lulus ujian memandu, sebagai galakan memastikan peserta benar-benar mengikuti latihan dan menduduki peperiksaan ditetapkan.
Beliau berkata, ia bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, malah membuka peluang kepada golongan muda khususnya lepasan pengajian yang masih mencari pekerjaan menjana pendapatan sampingan termasuk melalui perkhidmatan p-hailing.
“Apabila mereka mempunyai lesen, mereka boleh mencari pendapatan sementara menunggu mendapat pekerjaan. Pada masa sama, kita mahu memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran memandu yang betul bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas kerjasama menyediakan tenaga pengajar dan kemudahan kursus, selain menyatakan komitmen untuk meneruskan program berkenaan.
Sementara itu, seorang peserta, Bon Yati Samiron, 69, yang merupakan penerima lesen B2 tertua berterima kasih kepada Johari kerana membantu memudahkan urusannya memperoleh lesen.
Dia yang sebelum ini hanya memiliki lesen L berkata, bantuan itu sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan penduduk khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
“Selama ini, saya hanya menggunakan lesen L sahaja dan apabila ada sekatan jalan raya, pasti akan ditahan jika tidak bernasib baik. Jadi apabila dimaklumkan oleh anak bahawa Datuk Seri Johari (Abdul Ghani) ada menawarkan bantuan membuat lesen, saya terus sertainya,” katanya. – UTUSAN











