30 juadah di kafe Pine Coffee - Utusan Malaysia

30 juadah di kafe Pine Coffee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekiranya anda ke Pine Coffee yang terletak di Taman Pine, belakang Bank Rakyat Jerantut, anda pasti akan menjadi ‘rambang mata’ untuk memilih makanan di sini.

Ini kerana kafe ini menghidangkan pelbagai aneka juadah nasi, sup, ayam dan daging panggang dengan 30 menu berupa sajian tempatan dan Barat.

Pemiliknya Nur Rafikah Razali, 36, sendiri ‘turun padang’ memasak dan menghidangkan juadah tempatan, Itali dan Thailand, iaitu Chicken grilled (ayam panggang) dan Lamb Chop (kepingan daging kambing panggang) – antara menu pilihan utama yang laris di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan setakat itu, menurutnya, Pine Coffee turut mengutamakan minuman berasaskan pelbagai jenis kopi bagi memenuhi penggemar tegar kopi.

Dia yang lahir daripada sebuah keluarga yang berniaga makanan di bandar Kuala Terengganu, Terengganu sebelum ini banyak melakukan jualan dari rumah secara kecil-kecilan, iaitu dengan menumpukan makanan pencuci mulut (dessert) seperti kuih-muih dan sebagainya.

“Kemudian saya mula belajar memasak secara atas talian yang banyak membantu saya menyediakan pelbagai jenis masakan tempatan dan Barat.

“Selain itu, saya juga memperoleh idea apabila kerap mencuba makanan itu di beberapa restoran dan kafe di Terengganu dan Pahang,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di kafe berkenaan, baru-baru ini.

Nur Rafikah yang berkelulusan bidang Sains Kimia dari Universiti Malaysia Terengganu berkata, dia mengambil keputusan berhijrah dari Kuala Terengganu kerana mengikut suaminya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar Jerantut.

“Lagipun sampai bila saya mahu duduk di rumah tanpa memperoleh pendapatan, lalu saya menyewa sebuah premis di sini pada November tahun lalu dan cuba membuka jualan makanan berkonsepkan kafe di sini.

“Hasil kemahiran belajar memasak menerusi atas talian membantu saya memperkenal menu berasaskan daging dan ayam berkonsepkan resipi tempatan, Itali dan Thailand dengan rasa serta aroma yang mempunyai kelainan sedikit bagi memenuhi cita rasa pelanggan,” ceritanya.

Dia berkata, bandar Jerantut yang dikenali sebagai ‘Bandar Taman Negara’ sering sibuk dengan pelancong luar dan tempatan dan keadaan itu amat sesuai dan tepat untuk dia membuka kedai makan di situ.

Katanya, setelah beberapa minggu kafenya beroperasi, pelanggan kerap bertanya makanan tertentu yang menjadi kegemaran mereka.

Lalu, katanya, dia menambah masakan seperti Spageti creamy tomyam, Mush­room soup & garlic bread (Sup cendawan dan Roti bawang putih), Meatball grill (bebola daging panggang), Nasi ayam buttermilk (Nasi ayam butter/mentega dan 30 jenis lagi menu yang disajikan.

“Harga Chicken grilled (ayam panggang), iaitu RM21 sepinggang dan Lamb Chop (kepingan daging kambing panggang) dengan harga RM27, manakala Spageti Creamy Tom Yam RM12 sepinggan, Mushroom soup & Garlic bread (RM10) Meatball grilled (RM13) dan nasi ayam buttermilk (RM10).

“ Kami mengutamakan selera dan kepuasan pelanggan untuk menikmati juadah dengan bayaran yang berpatutan,” terangnya lagi.

Katanya, setelah setahun bertapak di bandar Jerantut, Pine Coffee mendapat perhatian apabila menjadi tumpuan pengunjung luar dan orang tempatan terutamanya pada waktu petang, malam dan hujung minggu.

“Saya dalam perancangan untuk memperkenalkan makanan laut yang lazimnya banyak dijual di Pantai Timur dan masih menilai keperluan pelanggan yang sukakan masakan bersumberkan bahan dari laut,” katanya.

Nur Rafikah berkata, dia juga dibantu oleh seorang tukang masak yang menyediakan makanan dipesan pelanggan dalam tempoh 10 hingga 20 minit bagi menu ayam dan kambing panggang, manakala makanan lain-lain hanya mengambil masa 10 minit sahaja.

Dalam pada itu, katanya, dia juga dibantu oleh dua pekerja lelaki untuk menyediakan minuman berasaskan kopi seperti spanish latte, latte, americano dan latte berperisa termasuk menghidangkan juadah dan mengambil tempahan pelanggan.

“Kafe ini juga menyediakan kemudahan pesanan menerusi ‘Tunai Semasa Hantar’ (COD) di bawah khidmat penghantaran khas dan Shopee Food,” katanya.

Dia berkata, yang lebih menyuntik semangatnya adalah apabila makanan di Pine Coffee telah menarik perhatian pihak Tourism Pahang.

Kafe berkenaan telah diiktiraf dengan menerima ‘Anugerah Destinasi Makan-makan Selamat’ iaitu antara salah sebuah premis yang terbaik di Pahang kerana menyediakan juadah yang lazat digemari pelawat domestik dan antarabangsa selain dinilai daripada aspek kebersihan, keselesaan serta layanan beradab. – Mingguan Malaysia 

Lokasi: Taman Pine (Belakang Bank Rakyat Jerantut)
Masa operasi: Pukul 11 pagi hingga 10 malam (hari Ahad tutup)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini