PUCHONG: Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) berupaya membantu polis mengesan orang hilang, selain membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyalurkan amaran kecemasan kepada penduduk di kawasan kejiranan tertentu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan terbuka untuk memperluaskan penggunaannya kepada agensi lain, walaupun Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) merupakan antara terawal yang akan menggunakan sistem berkenaan.
Beliau berkata, usaha memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimulakan.
Katanya, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri turut menghadiri pelancaran MySiren pada 23 November lalu.
Fahmi berkata, MySiren yang membabitkan kos pengoperasian keseluruhan RM200 juta berjaya diuji di seluruh negara hari ini dengan amaran kecemasan disalurkan hampir serentak ke telefon pintar pengguna di seluruh negara.
Katanya, sistem yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2024 mengambil masa untuk dilaksanakan berikutan pertimbangan teknikal dan keperluan perolehan.
Ujarnya, MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu manakala ujian terdahulu dilaksanakan membabitkan Ahli Parlimen pada 23 November.
“Berdasarkan maklum balas segera yang diterima dari Padang Besar hingga ke Pulau Sebatik dan Tawau, amaran itu berjaya diterima hampir serentak,” katanya ketika ditemui selepas Ujian MySiren Peringkat Kebangsaan di Ibu Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti di sini, hari ini.
Fahmi berkata, selepas menekan butang pengesahan untuk menghantar mesej ujian itu, amaran yang sama diterima di seluruh negara hampir serta-merta.
“Ini adalah penyebaran maklumat secara serta-merta. Ia tidak melalui saluran SMS dan kita juga tidak mengumpul maklumat daripada pengguna.
“Ia menggunakan sistem siaran sel yang memancarkan isyarat melalui peralatan radio di menara telekomunikasi kepada telefon pintar dalam kawasan liputan masing-masing,” katanya.
Fahmi berkata, NADMA dan MCMC akan diminta menjalankan ujian tahunan sempena Bulan Kesiapsiagaan Bencana pada Oktober dengan Ahad pertama bulan itu dicadangkan sebagai tarikh pelaksanaan.
Ujarnya, latihan tahunan itu akan membolehkan rakyat Malaysia membiasakan diri dengan amaran kecemasan.











