GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan musuh kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya mahu memerangi pihak yang mengkhianati amanah dengan menyalahgunakan aset ketenteraan untuk kegiatan penyeludupan dadah.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang bersekongkol menggunakan kemudahan dan aset ketenteraan bagi menjalankan kegiatan jenayah sehingga mencemarkan imej pasukan keselamatan negara.
”Petang ini saya nak pergi ke TUDM. Bocor sangat. Saya terpaksa turun ke sana, saya nak beritahu saya bukan musuh saudara-saudara. Saya musuh orang yang khianat guna pesawat tentera udara bawa dadah.
”Pakat dengan negeri di sini, pakat dengan negara sini. Sebab apa? Kita longgar. Sebab budaya kita rasuah,” katanya ketika berucap pada program Semarak Wakaf Perdana 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, masalah rasuah yang bersifat sistemik perlu ditangani secara serius kerana kelemahan dalam sistem penguatkuasaan membuka ruang kepada kegiatan jenayah berprofil tinggi.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu berkenaan bukan perkara kecil memandangkan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset tentera merupakan pengkhianatan kepada negara.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, tiga tan dadah disyaki jenis syabu bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan TUDM di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Kegiatan tersebut dikesan menerusi risikan berterusan PDRM yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.
Daripada jumlah itu, 14 transaksi dari Pangkalan TUDM Labuan melibatkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta. – UTUSAN











