SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Malaysia terbuka menerima permohonan negara peserta bagi penambahan acara pada Sukan SEA 2027, namun keputusan akhir berhubung perkara itu tertakluk kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
Beliau berkata Malaysia tidak seharusnya menghalang cadangan berkenaan, sebaliknya memberi galakan terhadap usaha negara peserta untuk menonjolkan acara sukan tertentu pada temasya itu tahun depan.
“Kita sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang dan ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand atau Filipina atau Indonesia, Singapura, Malaysia, kita beri galakan.
“Bagaimanapun, semua permohonan itu kita perlu teliti dan ikuti proses mengikut SEAGF, namun secara asasnya (kita) sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan beliau menerima permohonan secara terus daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membolehkan negara itu mencadangkan beberapa penambahan acara sukan pada Sukan SEA 2027.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kepentingan menghidupkan aktiviti sukan dalam kalangan rakyat bagi memastikan pembangunan negara turut disokong masyarakat yang sihat dan cergas.
“Ya, kerana bila kita masuk dalam pertandingan, pertarungan, kita mahu capai yang terbaik, betul, tetapi hebatnya sukan di Malaysia ini kerana sukan kita merakyat, kita mahu seluruh rakyat itu terlibat dalam kegiatan olahraga dan sukan, barulah (rakyat) negara ini sihat.
“Maknanya kita sedar bahawa pembangunan itu penting, ekonomi penting, tetapi kalau rakyatnya tidak sihat, lemah, lembik, malas, nak bergerak pun susah, beratnya berlebih-lebih macam mana, jadi sebab itu kegiatan sukan ini harus dihidupkan,” katanya.
Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 September, manakala Sukan Para ASEAN (APG) 2027 akan diadakan di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober. – BERNAMA











