TEL AVIV: Israel terus mengabaikan desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, supaya meneruskan pelan gencatan senjata apabila tentera negara itu memperhebat serangan yang menyasarkan pemimpin dan komander Hamas di Gaza.
Khamis lalu, tentera Israel membunuh anggota kanan Biro Politik Hamas yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Gaza, Khaled Abu Nada, dalam serangan di tengah wilayah itu.
Menurut kenyataan Hamas, serangan yang menyasarkan pangsapuri kediaman Khaled turut mengorbankan isterinya.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) berkata, pembunuhan Khaled akan menjejaskan operasi kewangan Hamas serta keupayaan kumpulan itu merangka dasar ekonomi.
Hamas pula menyifatkan serangan berkenaan sebagai sebahagian daripada dasar pembunuhan sistematik Israel terhadap pemimpin kumpulan itu.
Serangan udara Israel turut menyasarkan kediaman keluarga pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya, di Gaza pada awal pagi Jumaat.
Anak lelaki Khalil, Izzeldeen al-Hayya, 29, bersama keluarganya terselamat dalam serangan itu, namun beberapa anggota keluarga mereka dilaporkan cedera.
Sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai lebih setahun lalu, Israel hampir setiap hari melancarkan serangan ke atas Gaza dengan menyasarkan Hamas.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 1,600 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara atau operasi ketenteraan Israel sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Israel meningkatkan lagi serangan tersebut. Pada Rabu, tentera Israel membunuh Muhammad Abu al-Aouf, ketua pasukan keselamatan dalaman Hamas di utara Gaza.
Sehari sebelumnya, Tentera Pertahanan Israel (IDF) membunuh komander Abu al-Aouf, Naeem Muhammad Abu Nahal, yang mengetuai pasukan keselamatan dalaman Hamas di seluruh Gaza.
Dalam kedua-dua kes itu, IDF menyifatkan pembunuhan berkenaan sebagai satu tamparan terhadap keupayaan kepimpinan Hamas, meskipun kumpulan itu terus mengukuhkan penguasaannya di kawasan Gaza yang tidak diduduki tentera Israel.











