VALENCIA: Juara dunia lapan kali MotoGP, Marc Marquez mengakui sudah tidak lagi menikmati setiap kemenangan yang diraih, sekali gus mendorongnya mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya dalam dunia perlumbaan.
Pelumba Ducati itu turut mendedahkan kemalangan ngeri yang menimpa adiknya, Alex Marquez pada Grand Prix (GP) Catalunya menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan persaraannya.
Marquez mengakui berasa lega dan gembira selepas mengumumkan persaraan secara mengejut kelmarin, malah hanya mahu menikmati perlumbaan terakhirnya di GP Valencia hari ini tanpa sebarang tekanan.
“Saya berasa gembira dan itu bermakna keputusan ini tepat. Saya tidak berasa sedih,” katanya.
Pelumba berusia 33 tahun itu membuat keputusan untuk bersara ketika GP Jepun pada awal Oktober lalu, namun hanya adiknya mengetahui perkara tersebut.
Keadaan bahu kanannya yang semakin teruk serta masalah penglihatan berganda yang kembali menghantuinya turut menimbulkan kebimbangan terhadap risiko mengalami kecederaan lebih serius.
Kemalangan di Le Mans yang mengakibatkannya mengalami patah tulang kaki, disusuli insiden menimpa adiknya di Catalunya, turut membuatkan Marquez mempertimbangkan semula masa depan kariernya.
Biarpun meneruskan perlumbaan dan kembali mencatat kemenangan, pelumba Sepanyol itu mengakui setiap hujung minggu perlumbaan menjadi mimpi ngeri buat dirinya.
Marquez kini hanya mahu menikmati perlumbaan terakhirnya di Valencia tanpa sebarang tekanan, dengan menamatkan perlumbaan menjadi keutamaan berbanding memburu kedudukan podium.
Marquez yang menyamai rekod lapan kejuaraan kelas premier milik Giacomo Agostini bakal menjadi pelumba pertama sejak John Surtees pada 1960 bersara selaku juara dunia bertahan. – AGENSI











