MUKADIMAH
Landskap pertahanan negara kini berdepan cabaran semakin kompleks apabila ancaman bukan lagi tertumpu kepada pencerobohan fizikal di darat, laut dan udara, sebaliknya turut berkembang dalam ruang siber yang berpotensi menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
Evolusi ancaman itu menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan melalui Angkatan Siber sebagai cabang keempat bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman baharu, termasuk serangan siber yang kini menjadi sebahagian daripada landskap keselamatan masa depan.
Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan turut berdepan cabaran dalam isu integriti ATM terutamanya penglibatan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kegiatan dadah, usaha mendapatkan misil pengganti bagi sistem peluru berpandu (NSM) di samping langkah memperkasakan industri pertahanan tempatan.
Justeru, wartawan NURAINA HANIS ABD. HALIM dan ASLINDA NASIR menemu bual Menteri Pertahanan, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN bagi mengupas cabaran serta hala tuju pertahanan negara.
Turut membantu, jurugambar, FARIZ RUSADIO dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD DERIS.
ANGKATAN SIBER ATM
MINGGUAN MALAYSIA: Setakat ini, bagaimana perkembangan penubuhan Angkatan Siber dan apakah persediaan yang sudah dilakukan kementerian?
MOHAMED KHALED: Saya sudah meminta supaya penubuhan angkatan ini dipercepatkan.
Ketika ini, kita sudah mempunyai tim nukleus (nucleus team) yang bertanggungjawab merangka perancangan, meneliti cabaran serta mengenal pasti kekangan bagi memastikan penubuhan cabang ini dapat direalisasikan.
Pasukan teras ini akan melihat keperluan yang diperlukan sebelum kita dapat melancarkan dan mewujudkan Angkatan Siber sebagai satu cabang khusus dalam ATM.
Kita juga sedar bahawa kebelakangan ini banyak serangan berlaku melalui ruang siber.
Kita mengakui ancaman akan datang sebahagian besarnya mungkin bermula dengan siber. Walaupun belum ada serangan yang dianggap sebagai satu peperangan, serangan itu sebenarnya sudah berlaku.
Kita perlu menerima hakikat bahawa ancaman tidak semestinya berlaku di darat, udara atau laut, tetapi juga dalam ruang siber. Sebab itu, perkara ini tidak boleh ditangguhkan dan perlu disegerakan.
Apakah sasaran kekuatan keanggotaan Angkatan Siber dan adakah ATM akan memberi keutamaan kepada individu yang mempunyai kepakaran teknologi maklumat?
Cadangan kita adalah sekitar 4,000 anggota siber. Kita juga menggalakkan pengambilan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT) untuk menyertai cabang ini.
Selain mempertahankan sistem daripada serangan siber, adakah ATM turut merancang membangunkan keupayaan serangan balas?
Satu lagi kepakaran yang diperlukan adalah keupayaan untuk menyerang balas. Sekarang ini kita hanya menerima serangan, jadi kita perlu ada kemampuan untuk menyerang balas.
Kadangkala pihak yang menceroboh sistem komputer kita hanya berdiam diri dan menunggu masa untuk memusnahkan sistem atau mengumpul maklumat. Kita perlu melihat perkara ini dengan serius kerana serangan siber boleh menyebabkan sistem penting seperti bekalan elektrik dan air lumpuh sehingga menjejaskan rakyat.
Bagaimana pula dengan keperluan peruntukan dan kos untuk merealisasikan penubuhan cabang baharu ini?
Sebab itulah kita mewujudkan pasukan nukleus untuk melihat dan mengkaji kesan serta keperluan yang diperlukan bagi penubuhan cabang ini.
TUNTUTAN MISIL NSM
Bagaimana perkembangan tuntutan Malaysia untuk mendapatkan semula bayaran bagi perolehan misil NSM dari Norway selepas negara itu tidak mengeluarkan lesen eksport?
Kita sebenarnya berdepan dua perkara berasingan, cabaran dan isu dihadapi apabila Norway tidak mengeluarkan lesen eksport untuk penghantaran misil permukaan ke permukaan kapal LCS.
Yang pertama iaitu tuntutan mendapatkan semula wang yang telah dibayar dan usaha mendapatkan misil pengganti. Bagi tuntutan tersebut, klausa dalam perjanjian menetapkan bahawa sekiranya berlaku sebarang isu dan masalah maka pilihan penyelesaian perlu melalui arbitrasi iaitu proses timbang tara.
Memandangkan kita tidak akan mendapat lesen eksport dan tidak akan menerima misil berkenaan, kita akan menggunakan proses yang diperuntukkan dalam kontrak dengan syarikat Kongsberg.
Proses itu mempunyai tiga peringkat. Pertama, penyelesaian secara baik (amicable solution), tetapi kita sudah lama menunggu dan peringkat itu tidak berjaya. Kita kini bergerak ke peringkat kedua, iaitu Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian yang akan dibentuk bersama.
Jika usaha itu juga tidak berjaya, kita akan membawa perkara ini ke peringkat timbang tara. Kita sudah membayar hampir RM600 juta dan menuntut satu jumlah termasuk ganti rugi yang difikirkan wajar.
Bilakah kerajaan menjangkakan wang itu dapat diperoleh semula?
Proses ini sedang berjalan, tetapi perkara penting yang perlu difahami ialah ia mengambil masa.Kita tidak tahu bila wang itu dapat diperoleh semula. Kita juga tidak tahu sekiranya kita berjaya dalam proses timbang tara, sama ada pihak berkenaan akan mematuhi keputusan tersebut.
Sebab itu, kita akan terus meneruskan saluran ini, menggunakan hak kita dalam perjanjian itu tetapi tidak boleh bergantung kepada pemulangan wang berkenaan sebelum mengambil tindakan lain. Sekarang dalam peringkat Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian namun kita sudah juga bersedia proses-proses ke arah timbang tara.
Sekiranya keputusan timbang tara memihak kepada Malaysia tetapi Kongsberg enggan mematuhinya, apakah tindakan seterusnya?
Jika mereka tidak mematuhi keputusan itu, kita perlu pergi ke mahkamah untuk memastikan mereka akur dan mematuhi keputusan berkenaan.Kita terpaksa menggunakan apa juga saluran sivil yang ada untuk menuntut semula wang tersebut.
TURKIYE PEMBEKAL MISIL PENGGANTI
Mengapa Turkiye akhirnya dipilih sebagai pembekal misil pengganti NSM berbanding Perancis dan Itali?
Kita sudah melihat beberapa pilihan misil alternatif dari Perancis, Itali dan Turkiye sebelum akhirnya membuat keputusan memilih Turkiye.
Pemilihan itu dibuat berdasarkan keupayaan integrasi, harga dan juga keperluan supaya kerajaan tidak perlu menanggung kos pendahuluan yang terlalu tinggi. Kita belum mendapat semula wang yang sudah dibayar untuk misil sebelum ini.
Jadi, kerajaan perlu menyediakan peruntukan baharu yang besar. Keadaan itu boleh menyebabkan proses mendapatkan bekalan misil dengan segera terhalang atau tertangguh. Dalam konteks ini, kita memilih Turkiye sebagai negara pilihan menggantikan NSM dari Norway kerana harga, jadual bekalan dan tidak memerlukan bayaran pendahuluan yang lebih tinggi.
Dari segi keupayaan, adakah misil Turkiye mampu menandingi kemampuan NSM dari Norway?
Dari segi keupayaan, secara umumnya hampir sama. Perbezaannya adalah dari segi beberapa ciri tertentu.
Tujuan kita mendapatkan semua sistem persenjataan ini adalah sebagai satu bentuk pencegahan yang berwibawa (credible deterrence).
Kita mahu memastikan negara mempunyai keupayaan pertahanan supaya pihak lain tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap kita. Jika berlaku pertempuran, kita mempunyai kekuatan untuk mempertahankan negara.
Dari segi jarak pula, misil Turkiye mempunyai keupayaan sekitar 250 kilometer. Ini membolehkan kapal kita berada pada jarak tertentu dan masih mempunyai kemampuan menyerang kapal lain.
Adakah pemilihan Turkiye turut mengambil kira faktor harga yang lebih kompetitif?
Harga Turkiye kira-kira 50 peratus lebih murah berbanding tawaran kedua-dua negara berkenaan, iaitu Perancis dan Itali.
Selain itu, kita juga sudah membuat tempahan misil daripada Turkiye untuk kapal Littoral Mission Ship (LMS). Bekalan yang ditempah itu juga boleh digunakan untuk kapal LCS.
Jadi, kita boleh mendapatkan bekalan dengan lebih cepat berbanding sekiranya membuat tempahan baharu yang akan mengambil masa lebih panjang.
Adakah perolehan daripada Turkiye akan disertai pemindahan teknologi dan pembangunan industri pertahanan tempatan?
Kita memang mempunyai perjanjian dengan Turkiye bahawa perolehan dibuat secara kerajaan dengan kerajaan. Dengan pendekatan itu, kita akan memastikan adanya pemindahan teknologi dan kerjasama pembangunan industri tempatan.
Kita akan berunding supaya pada akhirnya dapat mewujudkan kerjasama membangunkan misil di Malaysia.
Matlamat kita adalah supaya pada masa depan, kita bukan sekadar membeli misil, tetapi dapat mengeluarkannya secara bersama.
Mungkin ada komponen misil yang boleh dibangunkan dalam negara dan menjadi sebahagian daripada bekalan global syarikat Turkiye yang memasarkan misil berkenaan.
Itu matlamat yang kita mahu capai dan perkara tersebut akan dibincangkan dalam rundingan.
Adakah pemindahan teknologi dan pembangunan industri tempatan itu akan menjadi antara syarat dalam rundingan dengan Turkiye?
Itu antara syarat atau perkara yang akan kita bincangkan dalam rundingan.
INDUSTRI PERTAHANAN TEMPATAN
Adakah Turkiye akan menjadi pembekal utama peralatan ketenteraan Malaysia pada masa depan?
Tidak semua perolehan akan dibuat dari Turkiye. Sebagai contoh, apabila kita menandatangani perjanjian dengan Perancis bagi bekalan meriam 105mm, kita turut bersetuju dengan pendekatan kerjasama pertahanan, khususnya dalam perolehan aset tentera.
Dalam perolehan meriam 105mm itu, sebanyak 25 syarikat tempatan sudah dikenal pasti berpotensi membekalkan komponen. Ini bermakna sebahagian peralatan meriam berkenaan akan menggunakan komponen yang dibangunkan syarikat Malaysia.
Kita mahu bergerak ke arah satu keadaan di mana syarikat tempatan bukan sahaja membekalkan komponen, malah akhirnya mampu mengintegrasikan dan menghasilkan peralatan berkenaan.
Contohnya, daripada tujuh alat komponen besar mungkin lima dari Malaysia dan dua dari Perancis jadi akhirnya kita yang keluarkan.
Sejauh mana kerajaan mahu meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam industri pertahanan?
Itu yang sedang diusahakan, kerajaan perlu memainkan peranan besar kerana tanpa penglibatan kerajaan, syarikat mungkin tidak akan membantu dan menjayakan usaha ini.
Apabila kerajaan membuat pembelian, kita boleh menetapkan pendekatan tertentu supaya syarikat yang membekalkan peralatan turut membantu membangunkan industri tempatan. Kita bukan mahu menjadi pengeluar helikopter atau kapal terbang kerana perkara itu memerlukan masa. Sebagai permulaan, perkara penting adalah penghasilan komponen.
Dalam industri pesawat dan helikopter, kita mempunyai keupayaan menghasilkan bahan komposit, termasuk melalui syarikat di Melaka yang sudah membekalkan komponen.
Kalau contohnya, perolehan kelompok kedua pesawat tempur ringan, kita akan menetapkan supaya 30 peratus komponen adalah daripada sumber tempatan.
Kementerian juga sedang melihat keperluan membangunkan senarai syarikat pembekal tempatan supaya syarikat itu dapat dikenal pasti bagi menyertai rantaian bekalan industri pertahanan.
Adakah pengalaman Norway menimbulkan kebimbangan kerajaan untuk terus bergantung kepada pembekal dari Eropah, khususnya Perancis dan Itali?
Tidak ada kebimbangan sedemikian.Kita perlu melihat kepada jenis aset yang dibeli, sama ada kapal terbang, kapal selam atau peralatan lain.
Daripada situ, kita boleh menilai sama ada kita terdedah kepada perkara yang sama seperti isu pembelian misil dari Norway. Kita mencari negara sahabat yang benar-benar ikhlas membantu membangunkan industri pertahanan kita. Semua itu menjadi kriteria dalam pemilihan pembekal.Kita bukan hanya mahu pemindahan teknologi, tetapi mahu mereka membantu membangunkan industri tempatan.
PERKEMBANGAN PROJEK LCS
Bagaimana perkembangan terkini projek LCS, khususnya selepas penyerahan kapal pertama dijadualkan semula?
Projek LCS berjalan seperti biasa seperti yang dimaklumkan pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS), terdapat perubahan pada tarikh penyerahan kapal.Kita berharap jadual baharu itu dapat dikekalkan. Kapal pertama sepatutnya sudah mencapai kemajuan 100 peratus, tetapi ketika ini baru mencapai 87.13 peratus.
Sebab itu, pihak berkenaan meminta supaya penyerahan dianjakkan kepada April depan. Kita berharap menjelang April, kapal itu dapat mencapai tahap 100 peratus dan diserahkan.
Bagi LCS kedua, kemajuannya sepatutnya mencapai 97 peratus tetapi kini baru 83 peratus, jadual penyerahannya pula pada Ogos 2027. Kita berharap semua perkara ini dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
Pada masa sama, kita sudah menghantar surat pemakluman mengenai ganti rugi kelewatan atau Liquidated Ascertained Damages (LAD) kepada LUNAS pada Ogos lalu selaras dengan peruntukan kontrak.Kita berharap benar-benar dapat menerima kapal pertama itu pada April depan.
SOP KESELAMATAN DAN INTEGRITI ATM
Adakah kementerian akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang milik Tentera Udara Diraja Malaysia?
Saya percaya berdasarkan kenyataan Panglima Tentera Udara, perkara itu antara cadangan yang sedang dilihat. Sekiranya pihak polis mempunyai cadangan lain, kita bersedia memberikan kerjasama dan melaksanakan cadangan yang difikirkan baik serta berada dalam kemampuan kita.
Adakah penggunaan mesin pengimbas yang lebih canggih turut dipertimbangkan bagi memperketat pemeriksaan?
Kita tidak mempunyai masalah sekiranya penggunaan mesin itu dirasakan perlu.
Jika kita melihat sindiket sudah berani menggunakan kemudahan sedemikian, maka sewajarnya kita meningkatkan keupayaan pemeriksaan, termasuk menggunakan mesin lebih canggih.
Adakah isu ini turut menimbulkan kebimbangan kemungkinan kegiatan sama berlaku dalam cabang ATM lain?
Atas sebab itulah kita akan menubuhkan jawatankuasa penyiasatan untuk mengesan dan mencari langkah baharu bagi memastikan perkara ini tidak berulang.
Kita perlu memastikan setiap anggota memahami tanggungjawab. Jika ada terlibat, mereka perlu sedar kesalahan seperti ini membawa hukuman sangat berat, termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati, tertakluk kepada kesalahan dan undang-undang yang berkaitan.
KES DADAH MEMBABITKAN ANGGOTA ATM
Bagaimana MINDEF melihat kes penglibatan pegawai dan anggota tentera dalam kegiatan pengedaran dadah yang dikesan baru-baru ini?
Perkara ini sangat malang dan kita menganggapnya sebagai isu yang sangat besar.
Ia bukan sahaja soal melibatkan anggota yang tidak amanah dan tidak berintegriti, malah kita khuatir sekiranya kegiatan ini berlaku secara berleluasa, keselamatan negara boleh terancam. Dan tentunya soal peranan dan tanggungjawab anggota ATM dalam menjaga kedaulatan, pertahanan serta keselamatan negara juga mungkin terjejas.
Rakyat boleh hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap ATM, sekali gus menyukarkan pasukan itu melaksanakan tanggungjawabnya. Sebab itu, kita menganggap perkara ini sangat serius.
Bagaimanapun, kita bersyukur kerana secara keseluruhannya ATM masih mempunyai anggota yang amanah. Ini kerana kegiatan berkenaan dikesan dan penangkapan awal dilakukan oleh anggota ATM sendiri menerusi Cawangan ProvosMarsyal.
Bagaimana kegiatan itu mula dikesan oleh pihak ATM?
Apabila didapati beg berkenaan tidak mempunyai tag saringan keselamatan, anggota yang bertugas membuat pemeriksaan terhadap parcel dan beg itu untuk mengenal pasti pemiliknya.
Penama yang berkaitan dipanggil untuk mengesahkan beg berkenaan dan diminta membawanya untuk pemeriksaan saringan.
Bagaimanapun, apabila penama itu enggan, pemeriksaan tetap dilakukan dengan bantuan Cawangan Provos Marsyal. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat bagasi dan kotak yang mencurigakan dibawa.
Perkara itu kemudian dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Bukit Aman. Daripada situ, pihak polis memperoleh maklumat lanjut. Kita sangat berterima kasih kepada anggota yang menjalankan pemeriksaan kerana mereka melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.
Tindakan mereka bukan sahaja membantu mengesan pegawai dan anggota tentera yang disyaki terlibat dalam pengedaran atau pengangkutan dadah melalui udara, malah membantu usaha membanteras kegiatan dadah dalam negara.
Adakah MINDEF melihat kemungkinan kegiatan itu membabitkan rangkaian lebih besar dalam ATM?
Sebab itulah kita akan menubuhkan jawatankuasa penyiasatan untuk mengesan dan meneliti perkara ini serta mencari cadangan baharu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira bahawa pegawai yang terlibat masih dalam tahanan polis. Kita perlu menunggu perkembangan siasatan sebelum menentukan kedudukan mereka, termasuk tindakan yang perlu diambil oleh kementerian.
Kita juga perlu mengetahui berapa ramai yang benar-benar bersubahat dan berapa ramai yang menjadi sebahagian daripada sindiket itu. Kita tidak boleh terus membuat tuduhan kerana perkara itu masih dalam siasatan. – Mingguan Malaysia










