KOTA TINGGI: Strategi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan menjadikan kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka antara ‘ramuan’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagaimanapun setiap parti mempunyai pandangan masing-masing, namun perlu berunding bagi mencapat matlamat yang lebih besar.
Katanya, pendekatan yang positif penting untuk memastikan BN kekal relevan dalam politik semasa.
“Tak apa, masing-masing ada pandangan, tetapi apapun kita percaya kita mempunyai matlamat yang besar. Berpijak dari situ, kita berunding untuk pastikan dapat mencapai matlamat besar kita.
“Kita sudah tunjukkan pelbagai bentuk hubungan yang kita jayakan seperti di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Di Johor, mereka bersetuju bertanding beberapa kerusi, di Negeri Sembilan ada persefahaman, manakala di Melaka ada kerjasama.
“Jadi, semua itu kita akan bincang. Saya percaya sebarang isu, cabaran atau pertembungan tentunya akan diambil kira dalam lingkungan matlamat yang lebih besar,” katanya pada sidang akhbar pada Program Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika/Taska KEMAS Parlimen Kota Tinggi 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang membayangkan rundingan kerjasama antara BN dan PN mungkin berdepan kesukaran, terutamanya membabitkan pembahagian kerusi selain peringatan bahawa ‘tiada abang long’ dalam gabungan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UMNO menyedari hakikat persekitaran politik hari ini memerlukan gabungan strategi yang mantap.











