BN mahu MCA lebih kuat, menang lebih banyak kerusi PRU16

BN mahu MCA lebih kuat, menang lebih banyak kerusi PRU16

Majlis Perhimpunan Agung Keempat Perwakilan MCA Ke-30 di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mahu memperkukuh kekuatan MCA dalam gabungan itu, termasuk memberi peluang untuk memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap keputusan berkaitan pembahagian kerusi menjelang PRU16 akan dibuat dengan mengambil kira usaha mengukuhkan MCA dan meningkatkan peluang parti itu meraih kemenangan.

Beliau berkata, pendekatan berbeza daripada kebiasaan mungkin diperlukan dalam menghadapi pilihan raya akan datang, bergantung kepada keadaan dan dinamika politik semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menjelang PRU16, mungkin ada keputusan yang berbeza daripada kebiasaan. 

“Tetapi percayalah setiap keputusan yang dilakukan, saya hanya mahu keputusan itu menguatkan MCA dalam BN dan memberi MCA peluang yang lebih baik untuk menang,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Ke-4 Perwakilan Pusat MCA Penggal Ke-30 di Wisma MCA, di sini hari ini.

Zahid berkata, pengalaman BN menghadapi tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka tahun ini menunjukkan setiap negeri memerlukan strategi berbeza bagi memastikan kemenangan.

Katanya, pendekatan rundingan dan kompromi antara parti komponen terbukti mampu memberikan hasil positif termasuk di Johor apabila MCA berjaya meningkatkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi daripada empat kepada lapan.

“Di Johor, ambil contoh Layang-Layang. Kerusi itu pernah dimenangi UMNO. Kita berbincang dan bersetuju MCA bertanding di situ dan memberi laluan di tempat lain. Akhirnya MCA menang.

“Inilah natijahnya apabila kita berkompromi, berbincang dan melihat kejayaan bersama dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata, BN perlu mengutamakan peluang untuk menang berbanding jumlah kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya.

“Apakah yang lebih penting kepada kita? Berapa banyak kerusi yang kita bertanding atau berapa banyak yang boleh kita menang?” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta MCA menyelaraskan strategi parti dengan hala tuju BN serta memastikan persetujuan yang dicapai di peringkat kepimpinan dapat diterjemahkan kepada gerak kerja di peringkat akar umbi menjelang PRU16.

Katanya, setiap bahagian MCA perlu mengetahui kawasan yang perlu diberi tumpuan, gerak kerja yang perlu dilaksanakan serta bagaimana jentera parti itu boleh bergerak bersama komponen BN di kawasan masing-masing.

“Pertama, selaraskan strategi MCA dengan hala tuju Barisan Nasional. Apa yang sudah kita persetujui di peringkat kepimpinan mesti sampai ke akar umbi.

“Saya mahu setiap bahagian MCA tahu kawasan yang perlu diberi tumpuan, kerja yang perlu dibuat dan bagaimana mereka akan bergerak bersama komponen BN di kawasan masing-masing. Mulakan sekarang,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini