KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh perpaduan ummah dalam kalangan masyarakat Melayu serta beragama Islam perlu seiring dengan tanggungjawab memelihara perpaduan seluruh rakyat Malaysia.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia sebagai negara majmuk memerlukan kerjasama semua kaum.
Justeru, katanya, usaha menyatukan rakyat perlu bermula dalam BN sendiri.
“Sebagai Presiden UMNO, saya mahu masyarakat Melayu-Islam mencari titik persamaan dan bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati.
“Itulah semangat Persefahaman Politik (Tafahum Siyasi) yang saya sebut dalam Ucapan Dasar UMNO. Kita cari ruang untuk bekerjasama sambil menghormati identiti dan prinsip masing-masing,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Ke-4 Perwakilan Pusat MCA Penggal Ke-30 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sebagai Pengerusi BN, usaha berkenaan perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab memperkukuh perpaduan seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, Malaysia merupakan negara majmuk yang memerlukan semua kaum, justeru usaha menyatukan rakyat perlu bermula dalam gabungan itu sendiri.
“Malaysia ini negara majmuk. Kita perlukan semua kaum, dan kerja menyatukan rakyat bermula dalam Barisan Nasional sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan BN bergantung kepada kemampuan setiap parti komponen, termasuk UMNO, MCA dan MIC, untuk memperkukuh kedudukan serta membina kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, apabila setiap komponen kuat dan dipercayai masyarakat, BN mampu membawa suara rakyat daripada pelbagai kaum.
“Jati diri Barisan Nasional mesti kita pelihara dan keputusan itu mesti boleh kita pertahankan bersama di hadapan rakyat,” katanya.- UTUSAN











