KUALA LUMPUR: MCA terbuka membincangkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN), namun sebarang keputusan perlu mengambil kira prinsip perjuangan parti serta kedudukan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, prinsip parti tidak boleh dikompromikan semata-mata demi kepentingan politik jangka pendek.
“MCA perlu menilai beberapa perkara sebelum membuat keputusan, termasuk sama ada kerjasama berkenaan selari dengan prinsip parti, mengiktiraf kepelbagaian kaum dan agama serta menjamin hak MCA untuk bersuara dan terbabit dalam proses membuat keputusan.
“Kerjasama politik boleh dibincangkan, tetapi prinsip politik tidak boleh dijual. Strategi politik boleh disesuaikan, tetapi pendirian parti tidak boleh dikaburkan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita MCA Kebangsaan 2026 di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sin Woon berkata, MCA menyokong gesaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.
Katanya, BN mempunyai pengalaman mencukupi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang
“Kita sudah mempunyai banyak pengalaman, daripada Sabah hingga ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Kerajaan sekarang ini sudah tidak boleh dipertahankan lagi. Kita sendiri tidak tahu bagaimana dasar digubal sehingga akhirnya menyusahkan rakyat.
“Sebab itu, kita menyahut seruan Pengerusi BN supaya Parlimen dibubarkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengeluarkan kenyataan itu ketika diminta mengulas kemungkinan berlaku rombakan Kabinet.











