KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) belum pernah merancang untuk pergi lebih jauh dalam kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) termasuklah melibatkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama antara BN dan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka merupakan tafahum siyasi atau kesefahaman politik.
Katanya, setakat ini BN belum pernah merancang untuk pergi lebih jauh dengan kerjasama sama tersebut termasuklah bagi menawan Putrajaya dalam PRU16 kelak.
“Apa yang kita telah lalui, khususnya untuk (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka, merupakan tafahum siyasi, ertinya kesefahaman politik. Kita belum pernah merancang untuk ke arah yang lebih jauh lagi.
“Tetapi kalau tiba masanya dan keadaan memerlukan, kita akan duduk bersama-sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk, di sini, semalam.
Ketika ditanya sama ada BN mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat,
Ahmad Zahid berkata, ia merupakan hak dan mandat Perdana Menteri.
Pada PRN Negeri Sembilan, BN memperoleh kemenangan di 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN pula menawan tujuh kerusi DUN sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan itu menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Di PRN Melaka pula, BN meraih kemenangan di 21 DUN manakala PN menyumbangkan tiga kerusi DUN termasuk Bukit Katil dengan mengalahkan Pengerusi Pakatan Harapan yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Sementara itu katanya, UMNO akan berusaha menyelesaikan kemelut membabitkan adat dan institusi istana di Negeri Sembilan dalam tempoh secepat mungkin.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, keutamaan pihaknya pada masa ini adalah memastikan masalah rakyat di negeri itu dapat diselesaikan.
Beliau berkata, usaha berkenaan juga penting bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan berjalan lancar dan mengikut landasan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Terbaharu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan telah menarik balik surat pengesahan pelucutan tahta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang diutuskan kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September lalu.
Ismail berkata, penarikan surat berkenaan adalah antara salah satu usaha dalam menyelesaikan krisis adat dan pentadbiran di negeri itu. – UTUSAN











